12 , 2016

Ke Arah Negara Pereka Digital


Saya teringat akan satu jenaka, bahawa apabila Google mula-mula memperkenalkan teknologi Street View pada awal 2008, kita mempunyai kebolehan untuk melakukan pencarian melihat ke mana-mana sahaja tempat di dunia, sama ada salah satu daripada 7 keajaiban dunia seperti Piramid Giza, melihat Menara Eiffel di Perancis dan sebagainya. Tetapi tempat pertama yang kebanyakan kita ‘google’ untuk lihat adalah rumah kita sendiri!

Di sebalik jenaka ini, apa yang dapat kita lihat adalah betapa teknologi hari ini telah berkembang begitu pesat dan membuatkan dunia kita semakin kecil. Kebanyakan daripada kita hari ini mempunyai lebih banyak maklumat dan pengetahuan dalam telefon bimbit kita berbanding sebuah perpustakaan yang penuh dengan buku.

Seiring dengan itu, baru-baru ini saya telah mengumumkan #mydigitalmaker, integrasi Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer ke dalam kurikulum rasmi sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

WhatsApp Image 2016-08-12 at 3.38.43 PM

Integrasi ini adalah sesuatu yang dekat di hati saya, dan amat saya sokong serta alu-alukan. Malah, Malaysia juga adalah negara pertama di ASEAN yang menjadi perintis kepada kurikulum ini dalam sistem pendidikan.

Dengan kepesatan teknologi yang ada kini serta kadar penembusan jalur lebar di Malaysia yang telah mencapai 77.3 peratus setakat suku keempat tahun lepas, di mana-mana sahaja dapat kita lihat anak-anak seawal usia 3 tahun begitu cekap menggunakan teknologi dan peralatan seperti tablet, telefon bimbit dan komputer, ada sesetengah itu lebih pandai lagi daripada ibu bapa mereka sendiri!

Saya perhatikan juga bahawa kebanyakan anak-anak ini telahpun didedahkan dengan elemen pemikiran komputasional melalui permainan seperti Minecraft, Roblox dan banyak lagi, di mana mereka bukan sekadar bermain malah boleh membina dunia permainan tersebut menggunakan elemen sains komputer iaitu coding.

Di sinilah di mana inisiatif #mydigitalmaker akan memainkan peranan yang penting. Bermula tahun hadapan, para pelajar seawal usia 7 tahun atau Tahun Satu persekolahan akan diterapkan dengan elemen berkait sains komputer seperti coding, sequencing dan sebagainya dalam proses pembelajaran subjek-subjek teras seperti Bahasa Malaysia, Geografi dan Matematik serta banyak lagi.

WhatsApp Image 2016-08-12 at 3.38.42 PM

Ini seterusnya akan membuka peluang baru buat para pelajar ini di masa hadapan untuk meneruskan pembelajaran dalam bidang berkait sains komputer yang makin berkembang luas. Bagi masa terdekat, usaha ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta pelajar dari 10,173 sekolah di seluruh negara.

Saya percaya inisiatif ini akan membawa perubahan serta mampu mentransformasikan generasi muda hari ini daripada sekadar pengguna teknologi kepada pereka digital yang berupaya menghasilkan inovasi digital mereka sendiri, sama ada laman web, aplikasi pintar, permainan video dan banyak lagi yang mungkin belum tercapai oleh imaginasi kita, Insya-Allah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles