9 Mac, 2016

Kedai Harga Patut Inisiatif Bantu Rakyat


Tengah hari tadi, saya menghadiri Majlis Pelancaran Anugerah Kedai Harga Patut 2016 di perkarangan Kompleks Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman.

kedaiharga1

Dalam majlis ini, saya telah menyampaikan anugerah kepada 10 pengusaha kedai-kedai yang menawarkan harga berpatutan kepada pengguna seperti:

– Kompleks Sogo, Kuala Lumpur
– Kedai Buku Pustaka Mukmin, Kuala Lumpur
– 99 Speedmart, Desa Sri Hartamas
– Ain Balkis Mini Market, Selangor
– Pak Tams Nasi Ayam, Putrajaya
– Segi Cash and Carry, Selangor
– Kedai Kain Pari Textile, Selangor
– Kedai Buku Maju Edar, Selangor
– Kedai Makan Rasa De Abang, Selangor
– Pasar Raya Syed Senawang, Negeri Sembilan.

Saya sempat juga berbual dengan para pengusaha ini, dan salah seorang daripada mereka, saudari Ain Razali yang mengusahakan kedai runcit di Perumahan Awam Sri Johor menyatakan bahawa beliau telah mendapat manfaat daripada Program Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR dan kini menawarkan harga rendah bagi membantu penduduk setempat mengurangkan kos perbelanjaan harian.

kedaiharga2

Seorang lagi pula adalah peniaga kedai makan, Pak Tam Zacharya yang menceritakan kepada saya bahawa beliau telah berniaga nasi ayam selama hampir 9 tahun di Putrajaya dan masih menawarkan harga rendah RM4.50 untuk sepinggan nasi ayam.

kedaiharga3

Kesemua mereka berkata mereka menawarkan harga yang berpatutan kerana yakin pelanggan kini bijak memilih dan akan terus berkunjung ke kedai yang memberikan bukan sahaja harga yang berpatutan tetapi juga layanan dan barangan yang berkualiti.

Saya turut melakukan tinjauan di pasar raya dan saya lihat bahawa Sogo telah menerima saranan KPDNKK untuk menurunkan harga beberapa barangan keperluan harian, di mana ada di antara barangan tersebut ditawarkan pada harga amat berpatutan dan kompetitif.

kedaiharga4

Usaha yang dilakukan oleh para penerima anugerah harga patut ini selaras dengan inisiatif-inisiatif Kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup dan haruslah dipuji.

Saya harap lebih banyak pengusaha serta kedai-kedai lain mengambil inisiatif serupa mengenakan harga yang berpatutan dan mengambil kira kebajikan serta kuasa beli pengguna.