Kehebatan Tokoh-Tokoh Wanita dalam Sejarah Islam

Rasulullah SAW apabila ditanya oleh sahabat mengenai siapa yang mesti diutamakan dahulu, baginda telah bersabda: “Ibumu…” sebanyak tiga kali kemudian baru disebutkan “ayahmu”. Ini antara gambaran mengenai kedudukan dan ketinggian mertabat wanita dalam Islam. Malah kehebatan dan mulianya wanita di sisi Islam turut dicatat sebagai salah satu nama surah dalam Al-Quran iaitu surah Al-Nisaa’ yang membicarakan secara khusus berkenaan wanita.

Ramai juga tokoh-tokoh wanita Islam yang berjaya dan diberi pengiktirafan atas sumbangan besar mereka yang saya percaya boleh kita jadikan pedoman hari ini. Antaranya, Saidatina Siti Khadijah RHA yang merupakan usahawan wanita terulung, seorang dermawan merupakan sumber inspirasi kepada Rasulullah SAW. Kita juga sedia maklum akan kebijaksanaan Saidatina ‘Aishah RHA sebagai tokoh pendidik dan keberanian Nusayba binti Ka’ab al-Ansariyah, seorang srikandi wanita yang mempertahankan baginda Rasulullah SAW dalam Perang Uhud.

Jelaslah bahawa peranan wanita bukanlah sekadar menjadi ibu dan isteri bahkan memberi impak yang besar kepada pembangunan sesebuah masyarakat atau negara. Bak kata pepatah Melayu, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.

Sehubungan itu, kerajaan juga sentiasa mengetengahkan kepentingan wanita dalam penggubalan dasar-dasar negara. Banyak usaha-usaha telah dilakukan dalam memperkasakan golongan wanita baik dalam sektor korporat atau sosial. Kita mahu lahirkan lebih ramai lagi srikandi-srikandi yang disegani dalam bidang masing-masing. Saya percaya golongan wanita akan dapat merealisasikan potensi sebenar mereka dengan ruang dan peluang yang disediakan oleh kerajaan, Insya-Allah.