19 Jun, 2016

Kemenangan Besar Dalam Pilihanraya Kecil


1. Saya bersyukur kerana rakyat sekali lagi meletakkan kepercayaan mereka terhadap Barisan Nasional. Kita amat bersyukur mendapat kemenangan besar ini kerana Kerajaan ini yang berada di pertengahan mandat urus tadbirnya dijadikan sasaran fitnah bermotifkan politik yang dahsyat. Majoriti rasmi kita di Kuala Kangsar adalah 6,969 , berbanding 1,082 pada pilihan raya umum 2013; dan 9,191 di Sungai Besar, berbanding 399 pada tahun 2013.

2. Tun Mahathir Mohamad menjadikan pilihan raya ini sebagai satu referendum ke atas kepimpinan saya. Beliau berkempen untuk pihak pembangkang yang merupakan bekas musuh politik beliau, dengan tidak bermaruah mencalit onar di partinya sendiri menggunakan bahasa kasar dan mendakwa dia bercakap bagi pihak rakyat. Tetapi pengkhianatan ini adalah didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan negara.

3. Kini, dengan dua kemenangan majoriti besar ini, dan kemenangan besar BN di pilinanraya Sarawak di mana kita menang 72 daripada 82 kerusi, mencerminkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan BN. Mereka menolak pembohongan Tun Mahathir, mereka menolak pakatan Tun Mahathir yang terdiri daripada seteru lama, dan mereka menolak pembangkang yang tidak keruan – sebahagiannya kerana kerjasama mereka dengan Tun Mahathir.

4. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BN, yang diketuai dengan cemerlang oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. BN berjaya kerana kita bekerja sebagai satu pasukan. Selagi kita terus bekerja keras untuk rakyat dan bersatu padu, kita akan terus berjaya.

5. Selagi mana saya masih Perdana Menteri, kepentingan rakyat akan sentiasa didahulukan. Kita pasti akan menepati janji-janji kita kepada mereka. Keutamaan saya akan sentiasa menjadi kebajikan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles