20 April, 2018

Kenapa Pembangkang Nak Sangat ECRL Gagal?


Projek Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL ini membawa banyak manfaat kepada Pantai Timur dan juga untuk Malaysia, bukan saja bila siap nanti tetapi juga semasa ia sedang dibina kini, dengan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan menambah nilai hartanah di kawasan yang dilaluinya. Malah kita meramalkan pertumbuhan KDNK negeri-negeri Pantai Timur akan meningkat sebanyak 1.5 peratus.

Namun di sebalik semua manfaat ini, amat menghairankan dan membuat saya tertanya-tanya, kenapa pembangkang begitu menentang projek ECRL, begitu ingin melihat projek InfraRakyat yang membawa banyak manfaat kepada semua terutama di Pantai Timur ini gagal?

Tak cukup dengan mengugut untuk menghentikan Projek Laluan Rel Pantai Timur ini jika mereka berkuasa, mereka juga cuba mengelirukan dan menanam kebencian kepada rakyat dengan memutar-belit fakta mengenai pembinaan ECRL.

Mereka juga kata projek tersebut satu pembaziran dan tiada keperluan untuk rakyat walhal mereka sendiri sedar ECRL mampu memperbaiki jurang pembangunan di Pantai Timur dan membawa banyak manfaat kepada rakyat.

Adakah Dr Mahathir masih belum puas hati walaupun setelah 22 tahun lamanya mengabai, menganak tirikan dan mendera penduduk Pantai Timur terutamanya di Kelantan, sehinggakan masa depan mereka yang kini lebih cerah bersama saya dan Barisan Nasional pun ingin dia malapkan?

Sehinggakan tindak-tanduk ini menimbulkan persoalan, seolah-olah dia mempunyai dendam peribadi atau personal vendetta menentang orang Kelantan dan Pantai Timur. Wallahualam.

Namun, saya tak akan biarkan usaha mereka ini menggagalkan perancangan Barisan Nasional untuk terus memaju dan mensejahterakan penduduk Pantai Timur dan Malaysia secara keseluruhannya.

Saya tak akan biarkan penduduk Pantai Timur kembali kepada zaman kegelapan di bawah Dr Mahathir! Insya-Allah, jika terus diberi mandat, kita akan lengkapkan ECRL, kita akan pastikan Pantai Timur maju dan berjaya seiring kemajuan Malaysia!

Bersama BN, Hebatkan Negaraku!