24 Disember, 2018

Kerajaan PH tambahkan jumlah kamera AES


Dulu mereka sanggup berguling dan berdemo mendakwa kerajaan BN melaksanakan AES untuk mengaut wang dengan menekan dan menzalimi rakyat yang semakin hari dihimpit kesempitan ekonomi.

Mereka berjuang untuk mansuhkan sistem AES. Bersungguh-sungguh mereka perjuangkan.

Selepas jadi kerajaan, mereka tidak hapuskan AES.

Sebaliknya mereka tambahkan jumlah kamera AES dengan banyak.

Apakah AES tidak lagi menekan rakyat?

Tidak lagi menzalimi rakyat selepas mereka berkuasa?

Rakyat tidak lagi dihimpit kekangan ekonomi? Sudah kaya, penuh satu troli dengan RM50 ke?

Mengikut logik mereka, pertambahan kamera AES ini bermaksud hendak menekan dan menzalimi rakyat dengan lebih teruk?

Secara jujur, saya masih percaya bahawa sistem AES dapat membantu untuk meningkatkan keselamatan jalanraya dan boleh menyelamatkan nyawa dari terkorban seperti yang digunakan di negara-negara lain di dunia.

Tetapi saya tidak senang hati bahawa PH telah menghasut, mempergunakan dan menipu rakyat selama bertahun-tahun.

Kata saya zalim. Kata saya tekan rakyat.

Tetapi bila mereka buat yang sama tanpa sebarang rasa malu atau rasa bersalah telah menipu rakyat, ianya tidak lagi zalim dan menekan.

Bukan lagi untuk Senyap-Senyap Tibai duit rakyat. Tetapi baik untuk rakyat.

Jika guna Waze pun tak berguna untuk mengelak dari dilanggar kerana pusingan U yang dibuat kerajaan PH ini terlalu tajam.

Tak sempat untuk Waze beri amaran. Waze pun pening.

Apabila saudara-saudari bayar saman AES nanti, sila beri sedikit peringatan kepada pejuang-pejuang yang pernah berguling-guling di atas jalanraya demi rakyat masa itu.

Dan bolehlah gunakan tuala Good Morning untuk lap sedikit air mata kesedihan yang mengalir semasa mengenang kehilangan secara tiba-tiba pejuang-pejuang ini.