30 April, 2017

Kerjasama Untuk Perubahan, Melibatkan Dunia


Alhamdulillah, selesai sudah edisi ke-30 Sidang Kemuncak ASEAN, kali ini di Manila, Filipina. Pelbagai topik dan isu telah diperbincangkan oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN ke arah kemajuan dan kemakmuran berterusan rantau Asia Tenggara, tempat kita semua berteduh.

Antara lain, kita telah mengulangi komitmen kita terhadap ASEAN dan menjayakan ASEAN sebagai suatu komuniti berdasarkan kepada ASEAN Community Vision 2025.

Kita juga mengambil maklum bahawa kejayaan ASEAN selama ini adalah berpunca daripada kesepaduan kita , dan apabila 10 buah negara bekerjasama sebagai satu komuniti bersepadu, sepertimana yang kini kita lakukan, pengaruh kita bertambah lebih besar dan meluas lagi.

Namun, untuk ASEAN terus berjaya, kita perlu meningkatkan lagi value proposition ASEAN, dan antara yang perlu dikembangkan lagi adalah dalam bidang perdagangan, di mana kita bercita-cita untuk mengembangkan ASEAN daripada ekonomi USD 2.6 trilion kepada USD 9.2 trilion menjelang 2050.

Untuk mencapai sasaran tersebut, beberapa perkara perlu kita lakukan antaranya mengatasi masalah non-tariff barriers dan non-tariff measures yang telah bertambah daripada 1,634 kepada 5,975, peningkatan yang begitu ketara.

Bagi menanganinya, saya telah mengusulkan supaya ASEAN melaksanakan kaedah scorecard sepertimana yang kita lakukan apabila memperjuangkan ASEAN Economic Community, supaya daripada scorecard itu kita dapat tentukan apakah langkah dan bilakah penurunan itu dapat dilakukan.

Dari segi geo-politik pula, isu yang menjadi perhatian utama adalah kegusaran banyak pihak mengenai peningkatan ketegangan di peninsular Korea, dan kita berharap pihak-pihak berkenaan yang mempunyai pengaruh di sana dapat memainkan peranan supaya Korea Utara tidak melakukan provokasi berlebihan sehingga berlaku kejadian tidak diingini.

Dalam konteks Laut China Selatan pula, pendirian kita konsisten seperti sebelum ini, dan tumpuan dalam masa terdekat ini adalah memuktamadkan Code of Conduct, dan menjadikannya legally binding kepada negara-negara yang terlibat.

Dengan ini, kita berharap Asia Tenggara, terutamanya kawasan Laut China Selatan akan terus aman dan kestabilan rantau ini kekal serta tidak dipertikaikan lagi.

Dari sudut keselamatan, saya telah menekankan sumbangan Malaysia kepada ASEAN, seperti program de-radicalization kita yang telah mencapai tahap 97.5 peratus kejayaan, dan juga Digital Counter Messaging Centre serta banyak lagi inisiatif yang perlu mendapat sokongan daripada semua negara ASEAN bagi menjadikan usaha memerangi militan dan ekstremisme lebih berkesan.

Mengenai keselamatan di Laut Sulu, saya telah menyampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Duterte yang telah membantu menyelamatkan 5 warganegara kita yang menjadi tebusan selama 8 bulan seminggu, selain tahniah juga kepada Kerajaan Filipina atas kejayaan menewaskan seorang pemimpin Abu Sayyaf baru-baru ini.

Dengan tindakan Presiden Duterte yang lebih agresif ini, kita berharap kawasan selatan Filipina ini akan bertambah baik keselamatannya.

Selain itu, salah satu isu yang telah saya bangkitkan dan mendapat sokongan kuat daripada Presiden Indonesia Pak Jokowi adalah mengenai tentangan kita terhadap langkah European Parliament yang mengaitkan industri kelapa sawit kita dengan deforestation.

Sekiranya perkara ini dikuatkuasakan, ia akan membawa kesan yang amat buruk kepada kepentingan negara kita khususnya kepada 600 ribu pekebun kecil, dan juga kepada Indonesia yang mempunyai bilangan jauh lebih besar iaitu seramai 2.4 juta pekebun kecil.

Selain daripada persidangan ASEAN, saya turut menghadiri Persidangan ke-12 BIMP–EAGA yang dipengerusikan oleh Filipina. Antara lain, kita telah menyentuh mengenai projek yang sedang dan telah kita laksanakan termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, dan projek pembinaan Lapangan Terbang Mukah.

Tambahan kepada itu, projek bekalan elektrik dari Kuching ke Kalimantan yang telah beroperasi sejak bulan Januari juga telah berjaya dan menunjukkan satu template di mana kawasan Kalimantan ini mampu membekal tenaga kepada Sabah dan juga Sarawak, dan juga menjadi sumber kepada tenaga boleh diperbaharui atau renewable energy.

Mengambil kesempatan keberadaan pemimpin-pemimpin di sini, saya turut mempengerusikan Persidangan ke-10 IMT-GT, yang telah meluluskan visi IMT-GT 2036 dan Dokumen Pelaksanaan IMT-GT 2017-2021. Ciri-ciri utama visi ini berkait dengan projek-projek infrastruktur di mana nilainya mencecah USD 47 bilion, melibatkan tiga buah negara.

Bagi Malaysia, yang akan kita laksanakan termasuklah pembesaran CIQ, Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Inland Port di Chuping, Rubber City di Padang Terap dan juga Green City di Melaka. Kesemua ini adalah projek-projek yang melibatkan pembangunan di kawasan IMT-GT.

Tumpuan kita berikan kepada Malaysia sebagai hab logistik rantau Asia Tenggara, dan kita harap ini dapat menarik lebih banyak lagi pelaburan dan perdagangan daripada selatan Thailand dan Sumatera yang boleh menggunakan pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung Malaysia.

Alhamdulillah, secara keseluruhannya, persidangan ASEAN kali ini dan persidang berkaitan berlangsung dengan jayanya, dan saya berterima kasih kepada Presiden Duterte atas layanan cukup baik kepada saya dan delegasi Malaysia.

Insya-Allah, saya yakin kesepaduan dan kerjasama negara-negara ASEAN akan terus bertambah baik dan seterusnya membawa kepada pelbagai kebaikan buat rakyat kesemua negara.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles