22 September, 2017

Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara


Alhamdulillah, didahului dengan merafakkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana atas limpahan rahmat, maka kita sekali lagi diberi Izin olehNya untuk berkumpul bagi menyambut tibanya tarikh 1 Muharram yang menjadi Hari Permulaan kepada taqwim tahun Islam.

Di Malaysia seperti mana kita maklum, Hari yang bermakna ini diraikan dan juga disebut sebagai Maal Hijrah atau dalam Bahasa Kebangsaan membawa erti Bersama Berhijrah.

Maka hari ini, jatuhlah tarikh 1 Muharram 1439 Hijriah, yang bersama dengan 22 September 2017 tahun Masehi.

Justeru, jika dikenang-kenang dan dihimbau-himbau, peristiwa perintah Allah SWT yang menyuruh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW serta beberapa para sahabat yang setia, berpindah dari Kota Mekah ke Kota Madinah, atas dua faktor – keselamatan dan strategi dakwah, telah berlalu dalam lipatan sejarah Islam dengan begitu lama yakni lebih 1,400 tahun yang lampau.

Lantaran, awal Muharram ini, tidak boleh dilihat sekadar satu sambutan yang bersifat ceremonious semata-mata, kerana kita tahu ada pihak yang mempunyai pandangan berbeza dan menganggapnya satu amalan yang tidak mempunyai penghujahan yang kuat.

Akan tetapi, di sebalik pendapat yang berlainan itu, di rata-rata negara Islam seluruh dunia, khususnya di Malaysia, kita beramai-ramai menyambut kedatangan Tahun Baru Islam kerana kita melihat dan mengambilnya peristiwa ini, tarikh ini sebagai satu hari yang signifikan, lagi terkandung bersamanya 1001 cerita, hikmah serta pengajaran yang boleh diteladani.

Sebetulnya pun, kita perlu jelas bahawa, peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW sebenarnya berlaku pada tanggal 2 Rabi’ul Awal, bersamaan 14 September 622 Masehi. Menurut sirahnya, Baginda telah tiba di Masjid Quba’ Madinah, pada tarikh 8 Rabi’ul Awal, bersamaan 20 September 622 masehi.

Dalam ertikata lain, jika dihitung akan keadaan dan kesulitan pada waktu itu, dengan berjalan serta menunggang unta bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq, telah dengan izin Allah, mereka berdua mengambil sekitar seminggu untuk sampai ke destinasi.

Begitulah peristiwa ini juga menjadi titik tolak kepada bermula tahun kiraan kalendar Islam, di mana taqwim ini kemudiannya disusun dan diperkemas 17 tahun kemudiannya, pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab, yakni Khalifah Islam yang kedua, setelah wafatnya Rasulullah SAW .

Ia bertujuan untuk mengatur sistem kehidupan umat Islam bagi memudahkan mereka dalam pelaksanaan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Laginya, peristiwa Hijrah yang kita sambut ini sebenarnya lebih kepada objektif untuk memperingati detik-detik betapa sukar dan peritnya lagi sarat dengan pengajaran serta peringatan kepada umat Islam sekalian. Inilah nilai-nilai sejarah perjuangan yang sebenarnya hendak diketengahkan kepada sekalian umat Islam melalui sambutan ini.

Apatah lagi sebelum menempuh perjalanan yang dilalui itu, apa yang berlaku sebenarnya adalah, menurut para sejarawan Islam, kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Mekah, Rasulullah telah diberitakan bahawa, kaum Kafirun merancang untuk membunuh Baginda, sekaligus memusnahkan perkembangan ajaran Islam yang baru bertatih ketika itu.
Demikianlah, susah payahnya detik-detik awal perjuangan Nabi yang kita amat kasihi, didokong dengan penuh sifat taat dan wala’ oleh beberapa sahabat yang diredhai Allah.

Jika ingin dikupas secara terperinci dan mendalam akan saat-saat cemas, pergerakan Hijrah yang terjadi, terdapat lebih 15 rentetan perancangan strategik yang diatur oleh Baginda dengan bantuan para sahabat, sehingga atas kehendak Allah, telah meloloskan Baginda dan Saidina Abu Bakar membawa ke Kota Madinah.

Paling tidak boleh dilupakan, adalah kesanggupan Saidina Ali yang masih muda, berani menanggung risiko untuk tidur di pembaringan Nabi sebagai taktik bagi mengelirukan pihak musuh.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Jadinya, sebagaimana yang saya sebut awal tadi, peri-mustahaknya, Maal Hijrah ini kita sambut bersama saban tahun adalah untuk menyuntik kesedaran, tentang betapa besarnya pengorbanan yang dibuat oleh Baginda Rasul dan Para Sahabat, demi menegakkan agama Allah yang suci di muka bumi ini.

Menyebut tentang pengorbanan, itulah salah satu lagi iktibar yang perlu sentiasa diingati dan diinsafi, tiap kali menjelangnya bulan Muharram yang mulia ini.

Atas perjuangan penuh berliku itulah agama Islam terus berkembang pesat sehingga menjadi sebuah tamadun besar yang pernah menguasai satu per tiga dunia dan kini pula ajarannya dianuti lebih daripada 1.6 bilion muslimin serta muslimat di seluruh pelusuk dunia.

Kerana itulah umat Islam tidak boleh sesekali lalai daripada terus mempertinggikan Islam dan memperjuang serta mempertahankan syiar kesuciannya sampai bila-bila.

Maksudnya, Islam mengajarkan kita bahawa, untuk maju dan jaya, kita haruslah berusaha dengan gigih, tidak boleh berputus asa, tidak boleh berhenti berkorban atau lari dari medan juang dan yang paling mustahak, hendaklah menyusun strategi serta perancangan yang teliti dengan penuh muafakat dan berpadu.

Dalam konteks Malaysia, mengambil ibrah daripada semua itu, Awal Muharram kali ini ternyata lebih istimewa disebabkan, kita baru sahaja selesai menyambut Hari Kebangsaan yang ke-60 serta Hari Malaysia.

Sepanjang tempoh 6 dekad sebagai sebuah negara Islam yang progresif lagi dinamik, bermanhajkan Maqasid Syariah, dengan berpegang kepada prinsip Wasatiyyah, Perlembangaan Persekutuan dan Ideologi Kebangsaan yang kukuh, kita telah menyaksikan  kejayaan demi kejayaan.

Asas kepada kekuatan kita ialah PENGORBANAN oleh semua pihak dengan mengenepikan perbezaan antara satu sama lain, sebaliknya, kita menjadikan KESATUAN DAN PERPADUAN sebagai aset azimat untuk sama-sama merencana strategi dalam membikin sebuah negara bangsa yang berjatidiri serta berjaya.

Lantas, tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini adalah, “Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara” amat tepat sekali.

Kerana, dengan adanya kesatuanlah, khususnya dalam kalangan umat Islam dan rakyat di negara ini, kita telah berjaya bebas daripada belenggu penjajahan. Melalui penyatuan dan pemuafakatan, kita membawa rakyat negara ini keluar daripada kepompong kemiskinan kepada kemajuan, bahkan dengan perasaan optimis, kita menuju ambang negara maju High Income Advanced Economy.

Tambahan, aspek kesatuan ini yang diampuhkan lagi dengan semangat patriotisme yang tinggi, telah terzahir apabila kita telah muncul dengan kejayaan berganda dalam Temasya Sukan SEA Ke-29 baru-baru ini.

Berbekalkan mafhum pengertian surah As-Saba’ ayat 15 yang menyebut bahawa, Allah SWT telah mengiktiraf kemajuan dan kemewahan serta kesejahteraan penduduk di negeri Saba’, selagi mana mereka mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Ilahi, melalui istilahnya, Baldatun Thoyyibatun Wa Robbun Ghafur, yakni negara yang baik, makmur di bawah lindungan keampunan dan keberkatan Allah.

Sememangnya pun Islam menggalakkan umatnya mencapai kemajuan dan kemakmuran. Di sudut ini, menyentuh pula tentang iktisad dan KEMAJUAN negara, kita bersyukur kejayaan negara, KDNK suku kedua 2017 mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.8 peratus, yakni antara yang tertinggi di dunia.

Manakala, menurut laporan State of The Global Islamic Economy 2016/2017 oleh Thomson Reuters, kita sekali lagi telah menduduki tangga pertama secara keseluruhan daripada senarai 73 buah negara di dunia.

Malah lebih mutakhir, dalam laporan yang sama, Malaysia bukan sahaja turut diakui sebagai ‘the best developed ecosystem for Islamic Finance in the world, bahkan KWSP negara ini dilaporkan mempunyai Islamic Saving Plan yakni Pelan Penyimpanan Islam yang terbesar di dunia.

Ditambah lagi, dengan pujian oleh Sheikh Rached Gannouchi, Presiden Pergerakan Al-Nahda, seorang ulama tersohor dari Tunisia terhadap Malaysia bahawa:

“Tidak ada negara lain lebih baik dari Malaysia, yang boleh menjadi model kejayaan ekonomi umat Islam. Malaysia is the true face of Islam yakni, Malaysia adalah negara contoh gambaran Islam yang sebenar”.

Apa yang lebih menarik, melalui hubungan diplomasi dan dasar berbaik-baik Malaysia dengan beberapa negara utama di dunia seperti China, Amerika Syarikat dan India serta Arab Saudi, ternyata membuahkan hasil apabila Baginda Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci, telah berkenaan memberi tambahan kuota haji kepada  Malaysia dan kewujudan King Salman Centre for Global Peace di Putrajaya, Malaysia.

Menyentuh sisi Malaysia sebagai sebuah negara Islam, pengertian Hijrah juga membawa maksud kita sewajibnya makin bertapak menuju kemajuan yang berimbang, dari aspek duniawi atau fizikal dan ukhrawi atau rohani.

Barulah menepati dan mencapai kerangka maksud Maqasid Syariah yang merentasi pemeliharaan lima asas utama kehidupan iaitu  agama, nyawa, akal, harta benda dan keturunan.

Sebab itulah, pihak Kerajaan akan terus menumpukan segala hal ehwal pembangunan dan dasar kita berdasarkan prinsip Maqasid Syariah. Malah projek Infra Rakyat seperti MRT yang bertaraf dunia juga menepati kehendak Maqasid Syariah.

Begitu juga projek-projek seperti East Coast Rail Link, Lebuhraya Pan-Borneo serta High Speed Rail, projek perumahan, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan, semuanya menepati manhaj Maqasid Syariah.

Selaras dengan perspektif Manhaj Maqasid Syariah, Kerajaan hari ini, dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah, sebetulnya sentiasa mengamalkan pendekatan Wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai tunjang kepada tadbir urus Kerajaan.

Atas prinsip-prinsip tersebutlah, kita dengan jelas sekali berpendirian, menolak sebarang ideologi dan fahaman yang terlalu ekstrem dan melampau seperti ancaman anasir Daesh, Al-Qaeda mahupun IS, juga aliran yang bersifat terlalu liberal seperti LGBT dan sebagainya mesti kita tolak kerana kesemua ini tidak ada tempat dalam negara kita.

Pada sisi lain, Malaysia juga akan terus prihatin dan berperanan aktif terhadap isu humanitarian atau kemanusiaan di seluruh dunia, khususnya dalam membantu saudara seakidah kita di Palestin dan di Wilayah Rakhine, Myanmar akan terus kita perjuangkan sebagai sebuah negara.

Misalnya, dalam hal penindasan terhadap golongan etnik minoriti Rohingya, Malaysia akan terus memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya tersebut, selain membawa isu ini hingga ke podium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan peringkat OIC, agar kezaliman yang tidak berperikemanusiaan ini dapat dihentikan segera.

Malah baru-baru ini, saya dengan jelas telah membangkitkan isu kemanusiaan tentang Rohingya ini, dalam pertemuan saya dengan Presiden Amerika Syarikat iaitu Donald Trump, seraya secara sepintasnya menyebut kepada beliau tentang The Authentic of Islam, yakni Islam yang sebenar lagi sejati, yang kita amalkan, tidak seperti apa yang telah disalahtafsir oleh pelbagai golongan, khususnya pihak Barat.

Selain itu, Alhamdulillah, melalui laporan terbaru skor Indeks Syariah kita pada Ogos tahun ini, capaiannya telah meningkat kepada 76.06 peratus, berbanding tahun sebelumnya iaitu pada 75.42 peratus.

Sememangnya, usaha Pengislahan, membela dan mempertinggikan syiar Islam di Malaysia telah dilakukan secara teratur serta sistematik lagi bersifat kontemporari, melalui pelbagai inisiatif dan program seperti, pewujudan Institusi perbankan Islam, Lembaga Tabung Haji, Baitul Mal, Industri Halal dan penubuhan universiti yang berasaskan syariatnya.

Demi terus mewajah Malaysia sebagai negara Islam contoh pada masa mendatang dan dalam usaha menjayakan Dasar Digital Malaysia, sebagai persiapan serta persediaan untuk menuju era Fourth Industrial Revolution, saya telah menggagaskan Falsafah Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

Sesungguhnya lagi, visi TN50 ini, bersifat sebagai satu strategi yang direncana demi melakarkan Malaysia untuk tempoh 30 tahun akan datang, bertujuan bagi menggungguli sebuah negara bangsa yang hebat, berwibawa lagi berjaya, serentak berupaya melahirkan generasi Khayra Ummah, sekaligus menjadi 20 negara terbaik dan termaju di dunia menjelang fajar 2050.

Oleh yang demikian, menyentuh tragedi kebakaran yang menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini amat menyedihkan sehingga mengorbankan seramai 21 orang pelajar tahfiz dan dua orang guru masih lagi menghantui fikiran saya.

Sehingga hari ini saya masih tidak percaya bahawa ada remaja dalam belasan tahun boleh merancang satu perbuatan jenayah dengan begitu teliti yang menyebabkan mereka yang tidak berdosa maut terkorban.

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, Kabinet telah mengarahkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyiasat kesemua pusat tahfiz dan mengemukakan laporan mengenai keadaannya. Pusat-pusat tahfiz yang tidak menepati piawaian akan diberi tempoh untuk menambahbaik dan sekiranya masih tidak patuh, akan diarah tutup demi keselamatan anak-anak yang tidak boleh kita kompromi.

Apa yang penting, sekian banyak usaha yang telah Kerajaan lakukan dalam mengangkat Islam sebagai Ad-deen dan asas kepada pembinaan tamadun negara bangsa, realitinya telah banyak terkehadapan dan melonjak lebih jauh daripada yang negara-negara Islam lain.

Lantaran itu, kita tidak seharusnya mudah berasa selesa atau kekal di takuk comfort zone yang biasa, sebaliknya, terus berikhtiar dan mengorak langkah untuk menggapai kejayaan, sehingga mampu melangkaui batas-batas pencapaian yang sudah lazim, atau dalam ertikata lain, “we must always raise the bar high and continue to keep the bar high for Malaysia”.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah terlibat dalam menjayakan majlis yang penuh makna pada kali ini.

Mudah-mudahan, dari masa ke semasa, sambutan Maal Hijrah, akan berupaya menganjak paradigma umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, agar menjadi umat yang terbaik lagi terunggul, sepertimana yang disebut dalam Al-Quran.

Untuk itu, marilah kita sama-sama berdoa dan berharap, semoga negara kita Malaysia ini akan sentiasa dilimpah-limpah berkat dari Ilahi dan menuju kejayaan yang berimbang iaitu, Par Excellence Duniawi serta Par Excellence Ukhrawi, yakni keunggulan di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak. InsyaAllah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Speeches