11 Ogos, 2016

Kesenian dan Kebudayaan


“Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan. Oleh itu buatlah bersungguh-sungguh dengan penuh kejujuran” – Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee

Telah acapkali saya katakan dalam ucapan dan perutusan rasmi saya, tetapi saya tidak akan berhenti menyebut bahawa sesungguhnya Malaysia amat bertuah, diwarnai dengan pelbagai budaya dan fahaman yang menghasilkan sebuah acuan unik, lebih ternyata bila kita sentuh mengenai kesenian dan kebudayaan.

Hari ini saya berpeluang bertemu dengan ramai penggiat seni yang memperjuangkan seni dan kebudayaan Malaysia.

Antara yang hadir bersama ialah:

– Saiful Amir dari kumpulan Almawlid

– Mohd Yusri yang mengendalikan Pusat Penerbitan Galeri Ilmu

– Mushamir Mustafa pengendali laman Facebook The Humans of KL

– Alena Murang pemain alat muzik tradisional sape

– Ravi Shanker Presiden Persatuan Seni Persembahan Malaysia (Asthana Arts)

– Izan Satrina pengasas My Performing Arts Agency

– Master Soon pakar feng shui; dan

– Datuk Lat, kartunis lagenda Malaysia

WhatsApp Image 2016-08-11 at 9.43.14 PM

Kesemua mereka datang dari latar belakang yang berbeza dan terlibat dalam pelbagai cabang kesenian dan kebudayaan, dan apabila berbicara bersama mereka jelas dapat saya lihat semangat dan kesungguhan mereka dalam memperjuangkan seni dan budaya Malaysia.

Izan Satrina misalnya menyebut mengenai ekosistem kesenian dan kebudayaan di Malaysia serta masalah yang dihadapi oleh golongan seni dalam mencari rezeki melalui berkarya, dan Ravi Shanker juga berkongsi pandangan sama, menyatakan bahawa seni mampu menyatupadukan kita semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

WhatsApp Image 2016-08-11 at 9.43.09 PM

Datuk Lat menceritakan pengalamannya semasa kecil dan bagaimana kesenian itu dipupuk bermula usia seawal 10 tahun, dan Mushamir memberi pendapat mengenai pengembangan bakat golongan remaja di sekolah dan pentingnya menghapuskan stigma bahawa seni itu adalah mata pelajaran kelas kedua.

Saya perasan bahawa tali leher yang dipakai oleh Mushamir adalah tali leher kerajaan dari tahun 60an, sekarang mungkin fesyen ini dah kembali jadi pilihan orang muda.

Datuk Lat, siapalah yang tak kenal beliau, kartunis lagenda Malaysia. Ramai kita membesar bersamanya. Lukisan beliau banyak menceritakan kehidupan seharian dahulu membesar di kampung-kampung.

Saya tertanya bagaimana agaknya reaksi watak popular Lat The Kampung Boy dalam Malaysia moden hari ini dengan pembangunan yang pesat beberapa tahun ini seperti pembinaan MRT, transformasi luar bandar dan sebagainya. Tak sempat tadi, tapi kalau ada masa teringin juga saya melihat sendiri beliau melukis.

Saya setuju dengan apa yang dikatakan Alena Murang, pemain sape, alat muzik tradisional Sarawak. Kesenian dan kebudayaan turun temurun perlu sentiasa diamalkan dan disampaikan kepada generasi akan datang. Tak ramai orang Kelabit di dunia ini, dan selain Dato’ Sri Idris Jala, saya kini kenal seorang lagi yang amat berbakat – Alena Murang.

Manakala Master Soon pula pakar feng shui yang telah mengembara serata dunia memberi khidmat dan juga mengajar seninya agar ia kekal dipraktikkan oleh ramai.

WhatsApp Image 2016-08-11 at 9.43.06 PM

Dari segi keagamaan, Saiful Amir yang dahulunya popular bersama kumpulan Innuendo, kini memimpin kumpulan Almawlid yang banyak mengadakan majlis keagamaan seperti selawat dan sebagainya, contoh bagaimana seni itu mampu digunakan sebagai satu pendekatan dakwah, sama seperti yang Mohd Yusri lakukan melalui penerbitan buku-buku islamik dengan Pusat Penerbitan Galeri Ilmu.

Sepertimana petikan kata-kata Seniman Agung kita, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, saya percaya kesemua mereka benar-benar jujur dan penuh kesungguhan dalam memperjuangkan kesenian dan kebudayaan di Malaysia.

Semoga dapat kita memastikan industri kesenian dan kebudayaan di Malaysia terus kekal meriah dan menarik, Insya-Allah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles