8 Mei, 2018

Ketelusan dalam Proses Pilihan Raya


Hari Malaysia memilih sudah hampir dan saya lihat ramai yang teruja nak tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

9 Mei ini, selain petugas-petugas SPR, ada satu kumpulan sukarelawan yang memainkan peranan yang amat penting dalam sistem demokrasi kita. Mereka adalah wakil calon atau parti bertanding yang bertindak sebagai ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA). 

Mereka akan jadi mata dan telinga calon, memerhatikan setiap proses pilihan raya daripada awal hingga akhir, daripada memastikan peti undi kosong digunakan sebelum masa undi bermula, ketika pengundi mengundi hinggalah proses mengira undi.

Mereka diberikan salinan daftar pemilih untuk mereka sahkan identiti setiap pengundi yang hadir dan setiap kertas undi akan ditunjukkan kepada mereka semasa proses pengiraan. Begitu penting peranan mereka dalam memastikan ketelusan proses pilihan raya.

Oleh sebab itulah, kebelakangan ini kita lihat parti-parti politik rancak mencari sukarelawan untuk bertindak sebagai PACA – supaya kepentingan parti atau calon tersebut tidak diketepikan atau tidak wujud unsur penipuan. Maklumat lanjut berkenaan ketelusan dalam proses pilihan raya boleh dibaca di sini http://undinegaraku.com/ketelusan.html .

Ini secara tidak langsung menunjukkan sistem pilihan raya kita telus, mendukung prinsip integriti yang termaktub dalam setiap demokrasi.

Nasihat saya kepada semua sukarelawan PACA, tak kira mewakili parti apa, jalankanlah tugas anda dengan hemah dan bertanggungjawab, anggaplah ini sebagai satu khidmat untuk negara. Selamat bertugas!