3 Februari, 2018

Kluster Automotif Nasional @ Proton City


Pagi ini saya menaiki ETS ke Tanjung Malim bagi merasmikan Kluster Automotif Nasional di Proton City. Alhamdulillah perjalanan cukup selesa, sempat saya bersembang dengan para penumpang lain yang turut kongsi keselesaan mereka gunakan perkhidmatan ini, malah siap minta tambahkan lagi koc dan bagi tren jalan lebih laju!

Setibanya saya di Tanjung Malim, saya dijamu sarapan istimewa antaranya gado-gado, teh tarik Tanjung Malim dan tentu sekali juadah paling terkenal di sini, pau Yik Mun. Ramai juga hadir, terima kasih sudi bersarapan bersama saya di medan selera pagi ini.

Hakikatnya, Bandar Tanjung Malim ini bandar berpotensi, cuma selama ini agak malap. Tetapi hari ini, Tanjung Malim berada di persimpangan masa depan yang cukup cerah.

Insya-Allah Tanjung Malim tidak lama lagi bukan akan terkenal dengan pau sahaja, sebaliknya bakal tersohor dengan Proton City, Kluster Automotif, Youth City dan banyak lagi. Pendek kata Bandar Tanjung Malim akan melalui proses transformasi besar dan drastik dalam masa 5 hingga 6 tahun akan datang.

Selain daripada pelan transformasi untuk Bandar Tanjung Malim menjadi salah satu bandar terkenal dan termaju dalam negara kita, Kerajaan bersama DRB-Hicom melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mempunyai hasrat dan pelan untuk membolehkan Proton, sebuah jenama yang sinonim dengan negara Malaysia, menjadi tersohor di peringkat antarabangsa.

Kita telah mengkaji sejarah Proton, tanpa perasaan emosi yang sempit kita sedar bahawa keadaan yang menimpa Proton adalah disebabkan Proton berpaksi kepada semangat economic nationalisme dan bukannya business reality. Lebih parah lagi, sebelum ini terlalu banyak campur tangan politik dalam pentadbiran Proton.

Walau bagaimanapun, kita tak akan biarkan Proton tenggelam atau lenyap, Proton perlu sokongan, dokongan dan bantuan daripada Kerajaan untuk dipulihkan, dan Kerajaan pimpinan saya dan Barisan Nasional akan pulihkan semula Proton bersama dengan DRB-Hicom!

Kalau ada orang kata kita tak tolong Proton, itu adalah pendustaan sama sekali. Kita bagi pinjaman, kita bagi suntikan modal, kita bagi insentif, dan kita syaratkan bahawa kalau Proton ingin maju ke hadapan, Proton tiada pilihan melainkan memilih rakan kongsi strategik.

Kerajaan tak kira siapa, kita tidak arah Proton pilih daripada mana-mana negara atau syarikat. Sebaliknya Kerajaan mengatakan bahawa ini merupakan keputusan yang harus diambil oleh Proton dan DRB–Hicom sendiri.

Dari situ, Proton serta DRB-Hicom memilih Kumpulan Geely, sebuah syarikat automotif yang mempunyai kewangan yang kukuh, pasaran yang luas, track record yang terbukti dan teknologi yang tinggi. Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut maka Geely–lah rakan kongsi paling sesuai untuk Proton.

Saya yakin keputusan itu tepat, melihat kepada Geely yang mempunyai kapasiti pengeluaran 1.5 juta setahun, memiliki jenama Volvo, selain kepakaran dan teknologi tinggi yang mereka ada dan sanggup pindahkan kepada jurutera dan pekerja Proton.

Selagi kita terus berada dalam landasan berasaskan kepada teknologi baru sebagai sebahagian daripada Revolusi Perindustrian 4.0, maka saya yakin Tanjung Malim dan Proton akan terus maju dan menempa masa depan yang cukup memberangsangkan.

Yakinlah, saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan akan terus berusaha memastikan impian ini menjadi kenyataan.

Tetapi sebelum ia boleh jadi kenyataan, ada jambatan yang perlu kita seberang. Bangkitlah Negaraku, kita lintasi jambatan itu ke sebarang sana, dan andai kita berjaya, Insya-Allah Tanjung Malim, Proton, dan Malaysia akan terus maju dan berjaya.