30 Mei, 2014

Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan & Gayu Guru Gerai Nyamai!


KAAMATAN

Tatkala kita melalui hari-hari terakhir bulan Mei ini, rakyat Malaysia dari kaum Kadazandusun dan Dayak bakal meraikan Kaamatan dan Gawai. Dengan semangat perpaduan yang dipupuk dalam konsep 1Malaysia, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada seluruh rakyat Sarawak dan “gayu guru gerai nyamai!” Kepada seluruh rakyat Sabah pula, saya ucapkan “Kotobian tadau tagazo do Kaamatan!”

Sambutan tahunan menyambut tahun penuaian baru ini dimulakan dengan majlis kesyukuran untuk memanjangkan rasa kesyukuran dan penghargaan terhadap musim penuaian yang baru, dan ia turut menandakan tibanya masa untuk menyusun perancangan bagi musim tuaian yang bakal tiba, serta untuk menanam usaha yang lebih, dalam segala aspek, demi masa hadapan yang lebih sejahtera.

Walaupun rakyat Malaysia memakan nasi setiap hari, kita kadangkala lupa kepada kepentingan beras dalam masyarakat kita ini. Penanam padi memerlukan jumlah air yang mencukupi untuk menanam padi. Malaysia pula adalah sebuah negara yang diberkati dengan jumlah air yang mencukupi untuk penanaman padi. Maka, rakyat Malaysia di Sabah meraikan Hari Kaamatan untuk mengingatkan diri mereka tentang keberkatan yang diterima dari hasil tuaian yang lumayan.

hari-gawai

Manakala sambutan Hari Gawai pula adalah simbol perpaduan, perjuangan serta harapan bagi masyarakat Dayak. Sesuai dengan prinsip utuh perpaduan rakyat Malaysia, pada hari tersebut, rakan-rakan Dayak kita akan bersama-sama melakukan gotong-royong seperti membersih, memperbaiki atau mengecat rumah-rumah panjang atau rumah-rumah mereka bagi membuat persiapan menyambut perayaan.

Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia adalah pusat kepada kepelbagaian budaya, diberkati dengan sumber-sumber yang boleh dinikmati dan disyukuri oleh setiap rakyat Malaysia. Kita seharusnya menghargai realiti ini, di mana setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan fahaman politik, boleh hidup bersama dan berkongsi meraikan nikmat dan keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.