21 Disember, 2017

Laman Web Berwajah Baharu


Alhamdulillah, bermula daripada logo baharu dengan 5 jalur menegak yang melambangkan prinsip pentadbiran saya yang diumumkan tempoh hari, hari ini pula saya berbesar hati memperkenalkan laman web saya yang diberi wajah baharu yang lebih menarik, informatif dan mesra pengguna.

Teknologi semakin bergerak pantas, dan hari ini maklumat mampu diperolehi sekelip mata. Namun, cabarannya adalah mendapatkan maklumat yang bukan sahaja cepat, tetapi juga tepat dan benar.

Oleh itu, selain daripada untuk kita terus kekal berhubung, dan sebagai satu lagi cara untuk saya berkongsi aktiviti dan penulisan saya kepada anda semua, peralihan kepada wajah baharu ini juga adalah bagi memudahkan anda mendapatkan maklumat yang cepat dan tepat mengenai Kerajaan Barisan Nasional dan juga segala pencapaiannya.

Di ruangan “Pencapaian”, anda boleh mengikuti sendiri kejayaan-kejayaan yang telah kita capai bersama, termasuk juga janji-janji Kerajaan Barisan Nasional yang telah ditepati, meliputi pelbagai bidang seperti perumahan, pengangkutan awam, kos sara hidup dan sebagainya.

Selain itu, terdapat juga ruangan “Rakyat Didahulukan” yang mencerminkan perjalanan transformasi negara yang telah berjaya menambah baik kualiti hidup rakyat serta pengiktirafan antarabangsa yang diterima sejak tahun 2009. Dalam ruangan tersebut juga, disediakan kisah pengalaman rakyat yang telah menerima manfaat daripada usaha dan inisiatif Kerajaan.

Sejajar juga dengan salah satu prinsip pentadbiran saya iaitu “Global”, anda berpeluang untuk meneliti hubungan diplomatik Malaysia dengan dunia luar, termasuk kuasa-kuasa besar global di ruangan “Hubungan Antarabangsa” dan bagaimana hubungan baik yang telah dijalinkan berjaya memanfaatkan negara dari segi ekonomi, kemajuan serantau dan keselamatan.

Insya-Allah, saya juga akan terus berkongsi pandangan saya dengan anda semua melalui penulisan blog dari masa ke masa. Sementara itu, anda boleh membaca catatan-catatan saya yang terdahulu di ruangan “Blog” yang telah dikemaskini.

Saya jemput anda semua untuk melihat sendiri wajah baru laman web saya di www.najibrazak.com, dan saya berharap dengan ini kita akan terus kekal berhubung!

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles