23 Mac, 2018

Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2017


Dalam agenda transformasi negara kita, suka saya berkongsi kenapa saya – Najib Razak – membawa kita semua, mengambil langkah demi langkah yang besar, dalam perjalanan transformasi ini?

Seperti anda semua yang berkongsi impian dan halatuju sama, saya inginkan;

– sebuah Malaysia yang dihormati dunia,
– sebuah negara yang berdiri megah dan sama tinggi dengan kuasa-kuasa besar dunia,
– masyarakat Malaysia yang moden dan berdaya saing tinggi,
– dengan rakyatnya yang mempunyai persefahaman, pengetahuan dan pendidikan tinggi,
– dengan rakyatnya yang berjaya di tanah air sendiri dan di persada antarabangsa,
– tiada golongan yang diabaikan, dipinggirkan atau ketinggalan,
– malah anak-anak Malaysia mempunyai kualiti hidup yang tinggi dengan akses dan peluang yang saksama di bumi sendiri

Dan untuk kita berupaya mencapai kesemua ini, ada 4 ramuan utama yang perlu kita beri tumpuan, iaitu:

– pendidikan
– kesihatan
– pembangunan infrastruktur
– revolusi digital

Menyentuh bidang Pendidikan, saya sedar pentingnya pendidikan dalam perjalanan yang membawa kita ke sebuah Malaysia yang baharu.

Kenapa pendidikan? Pendidikan merupakan anak kunci untuk mengubah nasib anak bangsa, dan penggerak mobiliti sosial buat individu, keluarga bahkan juga bangsa itu sendiri.

Hari ini di Malaysia, Alhamdulillah – dari pra-sekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi – kita telah pastikan tiada sesiapa pun tidak mempunyai akses kepada pendidikan akibat jarak atau masalah kewangan, yang pada satu ketika dihadapi oleh masyarakat kita.

Kita telah sediakan pelbagai subsidi, bantuan, kemudahan dan infrastruktur pendidikan, dari peringkat pra-sekolah hinggalah ke peringkat kedoktoran falsafah.

Kita juga telah memastikan wujudnya pilihan untuk masyarakat kita – sama ada dari segi bahasa, subjek dan kepercayaan.

Saban tahun kita sentiasa berusaha menambah baik silibus pendidikan agar seiring dengan perkembangan semasa melalui inisiatif antaranya kelas coding dan pembelajaran abad ke-21.

Kepada ibu bapa dan bakal ibu bapa, atau yang merancang untuk memulakan keluarga, saya Najib Razak dan Kerajaan akan terus pastikan akses kepada pendidikan tersedia dan ditambah baik dari masa ke masa, untuk masa depan para pelajar di Malaysia.

Dalam bidang kesihatan, saya juga inginkan sebuah negara di mana setiap rakyat Malaysia mampu mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik pada harga yang berpatutan, kerana ini adalah hak semua, dan sesungguhnya kesihatan itu adalah kekayaan sebenar.

Hari ini di Malaysia, Alhamdulillah, Kerajaan terus memperuntukkan sejumlah besar untuk sektor kesihatan, dan kos rawatan dan ubat-ubatan yang disediakan di Hospital-hospital Kerajaan adalah amat rendah.

Cuba Tuan-tuan dan Puan-Puan bayangkan, mana nak dapat, caj untuk satu lawatan termasuk segala konsultasi di Hospital dan Klinik Kerajaan termasuk Klinik 1Malaysia, cuma seringgit!

Kalau rujuk ke Klinik Pakar, cuma RM5 untuk “follow-up”. Caj kalau kena masuk wad bermula dari RM3 sehari. Malah, untuk penjawat awam, warga emas dan OKU, percuma!

Saya beri satu lagi contoh, baru-baru ini dalam satu sesi Bajet Bersama Rakyat, saya ada kongsi mengenai kos bersalin. Kos purata bersalin biasa di hospital swasta adalah dalam lingkungan RM3,000 hingga RM5,000. Kalau di hospital semi-government, cuma RM200. Di Hospital Kerajaan? Cuma RM10!

Quality and affordable healthcare remains accessible for all Malaysians till today.

Ramuan seterusnya adalah Pembangunan Infrastruktur atau InfraRakyat. Kita inginkan sebuah negara Malaysia dengan kemudahan pengangkutan awam dan infrastruktur terbaik untuk rakyat, InfraRakyat yang tidak boleh kita lihat semata-mata dari sudut pembinaan sesebuah infrastruktur, tetapi juga dari sudut keperluan dan kesalinghubungan.

Tidak ada negara di dunia yang boleh dikatakan maju tanpa rangkaian kesalinghubungan yang tinggi.

Oleh sebab itulah, Kerajaan mengambil langkah melabur besar-besaran dalam aspek ini sejak saya mengambil tampuk kepimpinan negara.

Daripada kereta api kepada bas, teksi dan laluan jalan raya yang lebih sempurna, Kerajaan ingin supaya rakyat Malaysia dapat bergerak dari tempat ke tempat dalam keadaan yang selesa, mudah dan lancar.

Kita tidak mahu rakyat Malaysia bersempit-sempit di dalam bas mini yang usang, mahupun terpaksa tunggu lama untuk kereta api KTM atau terpaksa bertukar-tukar stesen hanya kerana laluannya dikendalikan oleh syarikat berbeza, kemudian dah naik, rosak pula itu.

Mungkin ada yang bertanya kenapa transformasi pengangkutan awam ini tertumpu kepada kawasan Lembah Kelang sahaja?

Anggapan ini sebenarnya kurang tepat, dan saya menerangkan kenapa terdapat persepsi sebegini.

Pertama, Lembah Kelang merupakan pusat, bukan sahaja kepada pentadbiran negara tetapi juga kepada perkembangan ekonomi negara.

Segala pembangunan di Lembah Kelang membawa kesan langsung dan tidak langsung, dan juga spillover effect kepada setiap negeri di Malaysia.

Keduanya, tidak benar bahawa Kerajaan menumpukan pembangunan hanya di Lembah Kelang. Mungkin dahulu pada zaman diktator 22 tahun ia begitu, tetapi tidak di bawah saya.

Semenjak saya pegang tampuk kepimpinan negara, pelbagai projek pembangunan telah saya luluskan untuk kawasan-kawasan yang sebelum ini mungkin terlepas pandang oleh pemimpin Harapan Palsu itu.

East Coast Rail Link yang akan membuka peluang ekonomi cukup besar kepada kawasan di Pantai Timur, Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak sepanjang 2,302km yang bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat, membuka banyak peluang, menghubungkan ramai penduduk serta meningkatkan kualiti kehidupan, kesemua ini tanpa tol!

Kenapa saya lakukan semua ini, mengumumkan peruntukan cukup besar buat projek-projek InfraRakyat di seluruh negara dalam usaha mentransformasi negara.

Kerana tidak seperti kepimpinan dahulu yang hanya mementingkan puak-puak dia sahaja, saya ingin seluruh Malaysia maju bersama, tanpa ada sesiapa yang ketinggalan.

Pada masa sama, kita juga menyedari bahawa ekonomi dunia sentiasa berkembang, ” it is ever transforming”, dan kita juga perlu turut sama mengikuti perkembangan ini agar tidak ketinggalan.

Hari ini di Malaysia, masyarakat kita terutamanya anak-anak muda, kebanyakannya celik IT. Media sosial misalnya, telah mentransformasi cara kita berhubung dan berkongdi maklumat. Semua kini di hujung jari sahaja, inilah apa yang saya gelar Revolusi Digital.

Kita dapat lihat kewujudkan disruptive technologies yang membawa kemudahan seperti Uber dan Grab, malah menyumbang kepada fenomena global digelar gig economy, di mana lebih ramai memilih pekerjaan sementara dan fleksibel.

Berjuta rakyat serata dunia sebenarnya ada pendapatan daripada banyak sumber dan bekerja sendiri, tidak terikat kepada pekerjaan makan gaji, dan majoriti kumpulan ini berumur antara 21 hingga 25 tahun.

Menyedari perkara ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan ini terus memperolehi pendapatan yang lebih tinggi.

Salah satu langkah yang telah Kerajaan laksanakan adalah melalui kewujudan Digital Free Trade Zone atau DFTZ, yang pertama seumpamanya di luar China.

Melalui revolusi digital DFTZ ini, perusahaan persendirian dan SME menerima lonjakan, dan kini mempunyai peluang yang terbuka seluas-luasnya untuk mengembangkan pasaran, melangkaui sempadan.

Saya juga ingin rakyat Malaysia mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dan sempurna, di mana mereka yang berusaha dan bekerja keras mendapat ganjaran sepatutnya, dan kebahagiaan seseorang itu tidak semata-mata diukur pada kewangan, tetapi juga pada waktu berkualiti bersama keluarga dan untuk diri sendiri.

Kualiti hidup yang tinggi juga bermakna rakyat ada ruang dan peluang untuk mendiami kediaman sendiri yang selesa dan mampu dimiliki. Itulah asas kepada usaha kita melaksanakan pelbagai inisiatif perumahan seperti PR1MA, RUMAW1P, PPA1M, Rumah Mesra Rakyat, PPR, dan Perumahan Generasi Kedua FELDA.

Saya mendengar keluhan anak-anak muda dan golongan kurang bernasib baik, yang juga mengimpikan kediaman sendiri. Sebab itulah saya memperkenalkan Skim Sewa Untuk Beli atau Rent-to-Own, Skim Perumahan Belia untuk anak-anak muda, dan pelbagai inisiatif pemilikan rumah untuk mereka yang kurang berkemampuan.

Alhamdulillah, hari demi hari kehidupan kita di Malaysia lebih baik berbanding dahulu. Badan-badan penarafan antarabangsa berterusan memberikan pelbagai pengiktirafan kepada kita.

World Happiness Report meletakkan Malaysia di tangga ke-35 dalam kalangan 156 negara, World Economic Forum meletakkan kita di tangga ke-13 dalam Inclusive Development Index bagi negara membangun.

Sekiranya kita meneliti dan mengamati fakta-fakta yang ada, yang ada di dalam Laporan NTP ini dan juga banyak lagi contoh yang berada di sekeliling kita, wajarlah kita rakyat Malaysia bersama-sama berkongsi kebanggaan akan Negaraku Malaysia, yang dipandang tinggi di mata dunia hasil usaha kita di dalam negara kita Malaysia.

Sebenarnya, segala apa yang kita lakukan ini bukanlah semata-mata untuk mengejar pertumbuhan KDNK atau pelaburan asing dan sepertinya.

Apa yang kita lakukan adalah untuk memastikan kita sebagai sebuah Kerajaan berupaya untuk membela, memelihara nasib dan kebajikan rakyat, khususnya golongan miskin, mereka yang kurang berkemampuan, anak-anak kecil, golongan yatim piatu, orang kelainan upaya.

Tetapi untuk berupaya melakukan semua itu dan menjaga kebajikan mereka, kita perlukan pertumbuhan berterusan negara.

Semua ini tak mungkin dapat kita capai sekiranya Kerajaan hari ini adalah Kerajaan yang semata-mata membuat keputusan berdasarkan populariti, sebaliknya kita melakukan keputusan sukar dan tepat,
melaksanakan apa yang perlu dilakukan untuk negara dan rakyat Malaysia.

Kita telah menstruktur semula kewangan negara, menghapuskan subsidi pukal dan menggantikannya dengan subsidi bersasar, menghapuskan cukai pendapatan individu bagi golongan berpendapatan rendah, menurunkan cukai pendapatan bagi golongan berpendapatan pertengahan, menghapuskan SST, digantikan dengan GST 6 peratus.

Semua ini adalah bagi menjamin kelestarian, memastikan ekonomi kita terus berkembang dan memastikan rakyat terus dapat menikmati hasil pertumbuhan negara.

Hasil daripada tindakan dan keputusan ini, Alhamdulillah kita kini di landasan tepat.

Kita berupaya menyalurkan hasil daripada inisiatif yang kita laksanakan untuk menyumbang kembali kepada rakyat melalui pembinaan InfraRakyat, penyediaan subsidi seperti BR1M yang memanfaatkan lebih 7 juta rakyat Malaysia, menyediakan skim latihan SL1M yang bakal memanfaatkan 25,000 anak muda, dan menyediakan bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan.

Kita kini berada di ambang mencapai cita-cita, menjadi negara maju. Inilah masa Malaysia, dan dunia sedang memerhati.

Kesemua ini, usaha-usaha yang telah dan akan terus kita lakukan, adalah batu asas kepada masa depan yang lebih berjaya.

Tetapi sebuah kapal tidak bergantung hanya kepada nakhodanya sahaja. Sebuah pasukan bola sepak, walaupun diketuai jurulatih terhebat dunia sekalipun, tidak akan mampu menjulang kejuaraan sekiranya para pemainnya tidak ada semangat dan keyakinan diri.

Kerajaan boleh menyediakan segala asas, infrastruktur dan kemudahan terbaik di dunia, tetapi pada masa sama, rakyat perlu turut menyahut seruan ini, bangkitlah bersama, rise to the occasion, barulah usaha transformasi ini akan berhasil, Insya-Allah.

Transformasi ini dan hasilnya, bukan untuk saya. Ia adalah untuk anak-anak kita, belia, pewaris negara nanti.

Janganlah kita sia-siakan usaha yang telah kita lakukan bersama, sahutlah seruan Negaraku Malaysia, pastikan kita sampai ke destinasi kita.

Tiba masanya nanti, jangan lupa, mandat itu penting agar dapat terus menyempurnakan proses transformasi ini untuk Malaysia, untuk rakyat Malaysia, dan untuk masa depan semua.

Bersama-samalah kita berdoa agar hasrat dan hajat kita dimakbulkan, Insya-Allah.

*Untuk baca laporan penuh Program Transformasi Negara 2017, muat turun di sini.