17 Jun, 2015

Lawatan Dua Hari ke Sarawak (15-16 Jun 2015)


Assalamualaikum.

Saya baru sahaja pulang semalam dari lawatan dua hari dari Sarawak. Setiap lawatan ke sana memberi saya perspektif yang lebih mendalam mengenai cara kehidupan dan keadaan pembangunan di sana, terutama sekali apabila saya melawat kawasan-kawasan pendalaman.

Sewaktu saya di Sarawak kali ini, saya amat berbesar hati diterima sebagai tetamu di majlis-majlis yang boleh dikatakan unik, seperti majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak dan sebagainya. Sambutan yang diberi sememangnya mesra dan meriah, memberi seribu satu kenangan kepada saya.

Semasa saya di Sibu dan Kapit kali ini, saya dapat menjamu selera masakan tempatan seperti ikan terubuk, sayur midin, kuih celorot dan sebagainya. Saya harap dapat pulang ke Sarawak di dalam waktu yang terdekat nanti.

Seperti apa yang saya katakan di majlis makan malam menyambut ulangtahun ke-59 Sarawak Dayak National Union di Kuching semalam, saya sememangnya menerima taklimat, laporan dan pandangan mengenai status pembangunan dari setiap pelusuk negara tetapi tiada cara lebih baik untuk melihat dengan mata sendiri, mendengar dengan telinga sendiri, untuk mengetahui dan merasai denyut nadi rakyat terutamanya di peringkat akar umbi.

Justeru, semalam saya bersetuju dan mengumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM127 juta telah diluluskan sebagai peruntukan tambahan untuk membina jalan yang akan menghubungkan Kapit ke Sibu dan untuk pembinaan Jambatan Sungai Mujong.

Saya berharap sedikit sebanyak projek-projek ini dapat membantu memudahkan perhubungan bagi penduduk-penduduk Kapit dan Sibu.

Mengimbas kembali lawatan saya ini, I am convinced more than ever that the state Government of Sarawak has worked very hard to ensure that all ethnicities and races live in peace and harmony. Adalah terserlah di Sarawak terdapatnya keakraban dan keharmonian antara kaum dan etnik tempatan. Sikap bertolak-ansur, kesefahaman dan penerimaan nilai dan budaya diamalkan tanpa ekstrem. Saya kagum dan berharap keamanan dan kesejahteraan ini akan terus berkekalan di Bumi Kenyalang.