Lawatan Emir Qatar ke Malaysia

By October 16, 2017 Blog, Featured Articles

Hubungan baik antara Malaysia dan Qatar telah terjalin sejak 43 tahun yang lalu. Lawatan DYMM Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Emir Qatar, pada hari ini telah membolehkan kita untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar terutama sekali dalam bidang ekonomi.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Qatar telah meningkat sebanyak 36.5% bagi tempoh Januari hingga Ogos 2017 kepada US$384.4 juta berbanding US$300.5 juta dalam tempoh sama tahun lepas.Dalam pertemuan saya dengan Emir Qatar, kami membincangkan prospek bagi Qatar meningkatkan pelaburan terutamanya dalam bidang perkhidmatan kesihatan melalui kerjasama Khazanah Nasional Bhd dan IHH Healthcare Bhd di Malaysia, dan juga untuk tujuan pelaburan di negara lain.

Dari segi pelaburan, Malaysia mempunyai banyak kepentingan di Qatar terutama sekali dalam sektor perkhidmatan. Syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di Qatar termasuklah Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), Gamuda Bhd, Sime Darby Bhd, UEM Bhd, UEM Builders, WCT Engineering Bhd dan Muhibbah Engineering Bhd.

Negara Qatar mempunyai beberapa pelaburan yang besar di Malaysia termasuk penyertaan mereka dalam Pavilion Kuala Lumpur melalui Qatar Investment Authority dan KLCC melalui Qatari Diar Real Estate Investment Company serta resort di Terengganu Chendering melalui Movenpick Resort and Spa. Prospek pelaburan bidang perhotelan turut dibincangkan sama ada di Kuala Lumpur ataupun di negeri-negeri seperti Sabah, Langkawi dan sebagainya.Emir Qatar berharap kerjasama antara Malaysia dengan Qatar akan terus diperluaskan untuk menangani ancaman keganasan dan ekstremisme yang dipandang serius oleh Qatar. Saya dimaklumkan persiapan Qatar sebagai hos Piala Dunia FIFA 2022 berjalan dengan lancar dan saya telah mengutarakan harapan saya bagi syarikat-syarikat Malaysia diberi peluang untuk terlibat dalam pembangunan infrastruktur bagi Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.

Emir Qatar sedar bahawa Malaysia keterhadapan dalam memperjuangkan hak-hak pelarian Rohingya dan Malaysia akan terus membantu pelarian Rohingya melalui pembinaan hospital lapangan yang bakal menjadi kenyataan di Bangladesh.

Empat memorandum persefahaman dimeterai antara Malaysia dan Qatar pada hari ini, termasuk kerjasama dalam bidang latihan untuk diplomat, pendidikan tinggi, perundangan serta kehakiman.

Insya-Allah, kita akan dapat merealisasikan peningkatan pelaburan Qatar di Malaysia dan moga hubungan dua hala antara negara kami akan diperkukuhkan lagi.