18 Februari, 2016

Lawatan ke Apple dan Tesla


Hari ini di Amerika Syarikat, saya melawat ibu pejabat Apple. Antara topik yang kami bincangkan adalah peranan Apple dalam bidang pendidikan di Malaysia.

Kita akan meninjau peluang untuk mengusahakan satu Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Apple di rantau Asia Pasifik di Malaysia, yang akan menumpukan kepada cara inovatif menggunakan teknologi mobil untuk merangsang pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, untuk mengembangkan lagi potensi minda-minda muda Malaysia, kita juga akan meneroka peluang bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pembangunan Aplikasi Apple untuk mengenal pasti, mendidik dan melahirkan pemaju aplikasi tempatan.

Para pemaju tempatan ini akan merekacipta aplikasi-aplikasi untuk Apple Store yang bersesuaian untuk pembelajaran dan pasaran tempatan.

Saya juga berpeluang ke ibu pejabat Tesla dan memandu uji kereta elektrik terbaru mereka yang diberi nama X.

Tesla telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mempromosi kenderaan elektrik di Malaysia dengan menyediakan sekurang-kurangnya 100 unit Model S, kereta sedan elektrik premium pertama di dunia ke Malaysia. Kita juga adalah negara pertama di ASEAN untuk menerima kereta-kereta Tesla ini.

Banyak teknologi menarik dan canggih kini sedang dibangunkan yang akan membentuk masa depan dunia.

Di Malaysia, Kerajaan sentiasa menyokong usaha memulakan start-up serta pusat penyelidikan berkaitan industri berteknologi tinggi dan industri pengetahuan.

Insya-Allah, inovasi yang dibangunkan seperti di Apple dan Tesla ini satu hari kelak boleh dihasilkan juga di Malaysia.

tesla1

tesla2