Lawatan ke China 12-16 Mei 2017

Kita mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan negara China dan saya percaya lawatan saya pada November 2016, telah berjaya merapatkan lagi hubungan antara dua buah negara selain membawa pulang jumlah pelaburan yang berbilion ringgit.

Insya-Allah, saya akan berlepas ke China awal pagi esok untuk menghadiri Belt and Road Forum yang dijangka turut dihadiri oleh 28 ketua-ketua negara lain atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Forum ini merupakan satu agenda penting dalam memastikan Malaysia dapat menikmati hasil inisiatif One Belt One Road yang bakal meningkatkan ekonomi negara melalui kesalinghubungan yang lebih menyeluruh. Lokasi Malaysia yang strategik memberi kelebihan buat kita untuk memainkan peranan yang penting dalam inisiatif ini dan saya yakin rakyat kita akan menerima manfaat dari segi connectivity yang holistik serta pembangunan ekonomi setempat.

Selain bertemu dengan Presiden Xi Jinping, Perdana Menteri Li Keqiang dan pemimpin-pemimpin China yang lain, saya dan delegasi juga akan ke Hangzhou untuk memenuhi jemputan rakan saya Jack Ma bagi melihat sendiri kejayaan syarikat Alibaba. Saya dimaklumkan bahawa syarikat Alibaba ini telah berjaya mencipta lebih 36,000 peluang pekerjaan dan telah mengubah ekosistem industri perusahaan di China untuk menjadi lebih dinamik dan inklusif.
Melalui ekosistem ekonomi digital yang diterajui oleh Alibaba, pengusaha-pengusaha di kawasan luar bandar turut berpeluang untuk menerima manfaat dunia tanpa sempadan.

Sebagai penasihat ekonomi digital negara, pengalaman dan kepakaran Jack Ma sudah pastinya mampu membantu melonjakkan ekonomi Malaysia melalui Zon Perdagangan Bebas Digital yang telah saya lancarkan pada bulan Mac lepas. Dalam menongkah arus pembangunan dan perubahan, saya yakin Zon Perdagangan Bebas Digital ini bakal menjadi hab digital ekonomi yang pertama di luar China dan dijangka akan mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan. Kelak, pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana kita akan berpeluang untuk mengakses pasaran luar dengan lebih mudah dan seterusnya meningkatkan pulangan perniagaan mereka.

Saya yakin lawatan kali ini akan membawa hasil kepada kedua-dua buah negara, bukan sahaja dari segi hubungan dua hala tetapi juga usahasama dari segi pelaburan, perdagangan dan perniagaan.

Insya-Allah, perkembangan lawatan kerja ke China ini akan saya kongsi dari masa ke masa dan saya berdoa agar urusan negara kita sentiasa diberkati Allah S.W.T.