11 November, 2015

Lawatan ke Depoh MRT Sungai Buloh


Semalam, saya melawat depoh MRT Sungai Buloh bagi meninjau perkembangan projek MRT. Saya juga sempat melihat sendiri keretapi yang sudah diuji di depoh ini. Saya difahamkan bahawa keseluruhan pembinaan ketika ini sudah mencapai tahap 73 peratus.

Kita sudah pun mempunyai 19 buah kereta api, khas untuk jajaran MRT, dan dijangka 35 buah lagi akan kita terima menjelang pertengahan tahun hadapan.

Saya amat gembira dengan pencapaian MRT kerana saya melihat apa yang kita telah rancangkan selama ini, hari ini sudah mula menjadi kenyataan.

Projek MRT membawa banyak manfaat kepada ekonomi negara dan rakyat memandangkan sebahagian besar daripada projek ini melibatkan syarikat tempatan. Selain itu, projek ini membawa kepada pemindahan teknologi serta kemahiran yang akan meningkatkan keupayaan kita dalam pembinaan pengangkutan awam.

Ia juga telah mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan dan kemahiran tinggi. Pengalaman yang diperolehi daripada pembinaan projek ini akan membolehkan syarikat tempatan menjayakan projek pengangkutan yang serupa di dalam dan luar negara di masa depan.

Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan kemajuan projek MRT setakat ini dan saya yakin fasa pertama MRT, yang membabitkan 12 stesen dari Sungai Buloh ke Semantan, akan mula beroperasi pada akhir tahun depan seperti yang dijadualkan, Insya-Allah.

mrt1

mrt2

mrt3

mrt4