Lawatan ke Hospital Tung Shin & Chinese Maternity Hospital

By November 17, 2017 Blog, Featured Articles

Petang semalam saya gembira dapat melawat Hospital Tung Shin dan Chinese Maternity Hospital yang masing-masing berusia lebih 100 tahun, dan diberitahu saya adalah Perdana Menteri pertama menjejakkan kaki ke hospital ini!

Tak apalah sekiranya bekas pemimpin dahulu yang walaupun berkuasa 22 tahun lamanya tak pernah menjejakkan kaki ke dua hospital bersejarah ini, saya hadir semalam sebagai tanda penghargaan kepada kedua-dua hospital ini yang telah banyak menyumbang kepada rakyat dan negara.

Hospital swasta kini bukan sekadar menyediakan perkhidmatan perubatan, tetapi juga memainkan peranan sebagai pemangkin perpaduan dan membantu meringankan beban kewangan Kerajaan, seperti kedua-dua hospital ini yang mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi.

Saya difahamkan mereka memberi subsidi perkhidmatan rawatan perubatan yang tinggi kepada para pesakit, malah mengecualikan bayaran kepada pesakit yang tidak berkemampuan!

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan RM3 juta bagi Hospital Tung Shin untuk menyiapkan pusat rawatan jantung selain menyediakan kemudahan yang lebih canggih.

Insya-Allah, semoga peruntukan ini akan dapat membantu mereka terus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk rakyat teramai.