Lawatan ke Machang & Jeli

By August 13, 2017 Blog, Featured Articles

Pagi Sabtu semalam saya di Negeri Che Siti Wan Kembang untuk majlis bersama penduduk dan mengumumkan beberapa inisiatif Kerajaan di sini.

Alhamdulillah, sambutan orang Machang cukup hebat, ramai luangkan masa untuk hadir pada hujung minggu bagi memeriahkan lagi majlis, terima kasih saya ucapkan.

Bagi membantu penduduk di Machang yang berada di luar kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan dan juga Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, saya berbesar hati mengumumkan peruntukan RM8 juta bagi tujuan pembangunan kawasan ini.

Peruntukan ini termasuk RM5 juta untuk membina jalan perhubungan desa, RM2 juta bagi program ameniti sosial dan RM1.53 juta buat projek khas membaik pulih masjid serta musala.

Peruntukan ini juga akan digunakan untuk membaik pulih 100 rumah miskin, longkang serta membaiki jalan-jalan kampung.

Dalam majlis sama, saya turut melancarkan Projek Perumahan Rakyat atau PPR Machang, di mana sebanyak 418 unit PPR di Batu 25 di Machang akan dibina dengan nilai RM75 juta dan dijangka siap pada awal 2019 kelak.

Bagi setiap rumah PPR di Kelantan, Kerajaan menanggung subsidi antara RM80,000 hingga RM120,000, bergantung kepada beberapa faktor seperti kontraktor dan juga kos tanah.

Bila siap, ia akan dijual kepada pembeli yang tidak mempunyai rumah dan berpendapatan RM3,000 sebulan, pada harga RM35,000 sahaja.

Selesai di Machang, saya terus ke Jeli untuk merasmikan projek bangunan tambahan Hospital Jeli.

Melalui projek ini, kita telah tambah 56 katil, dua dewan bedah, Unit Pensterilan (CSSU), Unit Patologi dan Tabung Darah, Bilik Isolasi, Unit Rekod Perubatan dan juga ruang letak kereta.

Insya-Allah, dianggarkan lebih 40,000 penduduk akan menerima manfaat daripada projek penambahan bangunan di Hospital Jeli ini.

Kedua-dua ini adalah sebahagian bukti keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional kepada kehendak dan keperluan rakyat.

Insya-Allah, kita akan terus beri bantuan kepada semua yang memerlukan dan membawa pembangunan ke seluruh pelusuk tanah air.