3 Mac, 2018

Lawatan Ke Negeri Di Bawah Bayu 2 Mac 2018


Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu
Tinggi lagi sayang sama kamu

Setiap kali saya ke Sabah, akan terngiang-ngiang di telinga saya lagu Sayang Kinabalu, lagu rakyat yang cukup popular bukan sahaja di Sabah tetapi juga di serata Malaysia.

Jadi bertepatanlah semasa lawatan saya ke Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Telipok di Sepanggar pagi semalam, ada kumpulan muzik ukulele bernama TellyUkestra mainkan lagu ini, cukup merdu dendangan mereka, sampai saya pun turut serta!

Lawatan saya ke sekolah ini adalah bertujuan meninjau bangunan baharu yang menggantikan bangunan usang sebelum ini, dan saya gembira melihat anak-anak murid cukup ceria belajar dalam suasana yang lebih kondusif dan sempurna. Sekolah ini juga adalah sekolah pertama di Sabah yang menggunakan konsep 2 dalam 1, di mana sekolah rendah dan menengah berkongsi bangunan dan fasiliti yang sama.

Pembangunan ini juga bukti komitmen Kerajaan untuk terus meningkatkan mutu pendidikan di Sabah, dan menggantikan sekolah-sekolah usang dan daif di sini dengan bangunan dan kelengkapan serba baharu dan moden. Dalam Bajet 2018, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi inisiatif ini.

Dari Sepanggar, saya langsung ke Universiti Malaysia Sabah, kunjungan yang menggamit kenangan dan mengimbau nostalgia. Ini kerana lebih 20 tahun dahulu, semasa saya Menteri Pendidikan, saya telah berusaha menunaikan janji Kerajaan BN untuk mewujudkan sebuah universiti di Sabah, dan melalui usaha tersebut, lahirlah Universiti Malaysia Sabah yang telah berkembang, membangun tapak demi tapak dan kini adalah antara universiti tercantik di Malaysia.

Hari ini, bak kata pepatah bagai sirih pulang ke gagang, saya kembali ke UMS, kali ini untuk melancarkan projek pembangunan Hospital Pengajaran Pintar USM, yang pertama bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh kepulauan Borneo. Insya-Allah, bila siap dalam masa 3 tahun lagi, hospital pengajaran pintar ini akan mempunyai 400 katil dan menyediakan perkhidmatan kesihatan, banyak peluang pekerjaan dan melahirkan lebih ramai doktor pakar orang Sabah.

Sama juga seperti pendidikan peringkat rendah dan menengah, Kerajaan Barisan Nasional turut akan terus memperkasakan bidang pengajian tinggi, kerana saya percaya anak-anak muda Sabah semuanya berpotensi besar, dan melalui bidang pendidikan ini akan memberi anak kunci kepada mereka untuk merealisasikan potensi mereka ke tahap maksimum.

Sesudah perasmian, saya singgah solat Jumaat di Masjid UMS bersama para pelajar dan masyarakat setempat, sebelum menuju ke acara seterusnya bersama para penjawat awam Persekutuan dan Negeri bagi Majlis Himpunan Perdana.

Di majlis ini, saya ulangi pendirian saya dan Kerajaan bahawa para penjawat awam, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, adalah tonggak kepada negara, dan hubungan baik dan kerjasama antara anggota pentadbiran dan penjawat awam adalah kunci kepada kemajuan negara.

Tidak seperti kepimpinan terdahulu, saya tidak pernah dan tidak akan meminggirkan Sabah. Malah dari segi peruntukan, dapat dilihat begitu ketara perbezaannya. Dulu, di bawah Tun Mahathir dalam Rancangan Malaysia ke-8, Sabah diperuntukkan cuma RM1.42 bilion. Dalam RMK-10 di bawah kepimpinan saya, RM7.6 bilion diperuntukkan.

Malah, selain daripada itu, saya juga mengiktiraf bakat dan kebolehan orang Sabah. Dari segi penyertaan kabinet, selepas pilihan raya yang lalu, ada 7 menteri orang Sabah. Bukan itu sahaja, ketua-ketua jabatan dan jawatan-jawatan tertinggi juga banyak dipangku oleh orang Sabah.

Di sebelah malam pula, saya menghadiri Majlis Bersama Persatuan-persatuan Etnik dan Kebudayaan Negeri Sabah. Saya cukup teruja melihat begitu ramai – saya dimaklumkan semua sekali 67 orang – Ketua Kumpulan Etnik Sabah yang dapat berhimpun dalam dewan, lebih-lebih lagi masing-masing kelihatan begitu segak dengan baju kebudayaan masing-masing.

Saya nyatakan kepada semua yang hadir bahawa kepelbagaian kita, yang begitu ramai etnik, tak jadi penghalang untuk kita bersatu-padu asal kita terus hormat-menghormati antara satu sama lain, dan Kerajaan hari ini adalah Kerajaan yang akan sentiasa menghargai, memelihara dan terus menyemarakkan kepelbagaian kita ini kerana ia adalah kekuatan kita rakyat Malaysia.

Saya juga mengumumkan bahawa Kerajaan berbesar hati memberi sumbangan dana sebanyak RM10,000 kepada setiap persatuan etnik di Sabah sebagai tanda penghargaan Kerajaan kepada usaha mereka terus menyemarakkan kebudayaan masing-masing.

Di akhir kalam, saya sekali lagi menegaskan kepada semua yang hadir, bahawa saya sebagai Perdana Menteri, komited untuk mengembalikan hak rakyat Sabah, dan saya, Najib Razak, akan jamin hak untuk orang Sabah.