9 Jun, 2015

Lawatan ke Sabah


Saya tiba di Malaysia dari Arab Saudi jam 11 malam semalam dan pagi ini terus ke Sabah bagi melihat sendiri keadaan mangsa gempa bumi di sini. Susah senang, saya akan sentiasa bersama Sabah.

Ingin saya tegaskan bahawa tuduhan-tuduhan yang menyatakan bahawa bantuan sampai lambat adalah tidak benar sama sekali. Agensi kerajaan yang terlibat telah berusaha sehabis baik, terutamanya berdepan dengan pelbagai cabaran seperti keadaan cuaca yang tidak memihak kepada kita.

Mendengar taklimat kejadian gempa bumi, saya berpendapat bahawa semua pihak telah menjalankan tanggungjawab masing-masing dan menitikberatkan keselamatan serta kebajikan mangsa.

Terima kasih kepada semua yang telah berusaha untuk mencari dan menyelamat, terutamanya para malim gunung yang menunjukkan keberanian meskipun sedar akan risiko tinggi yang mereka hadapi. Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri Sabah bagi mewujudkan sebuah anugerah istimewa kepada malim gunung yang terkorban serta yang telah membantu dalam kerja-kerja menyelamat.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah akan bekerjasama dalam proses pemulihan, selain membina alat pengesan gempa bumi moden. Kerajaan juga akan memperluas kawasan pendaratan helikopter bagi memudahkan pendaratan helikopter tentera dan ini mungkin mengambil masa 3 minggu untuk disiapkan.

Dana sejumlah RM10 juta turut akan disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja pembaikpulihan kerosakan akibat gempa bumi yang berlaku. Selain itu, langkah-langkah akan dikenal pasti untuk mengembalikan Taman Kinabalu sebagai antara destinasi terkenal di dunia.

Kepada keluarga mangsa yang terkorban, saya mendoakan akan kekal tabah dan menerima suratan takdir ketentuan Yang Maha Esa. Saya harap dugaan ini tidak akan melemahkan semangat kita, sebaliknya mengukuhkan lagi kebersatuan kita bersama, Insya-Allah.