28 Mac, 2016

Lawatan Ke Sarawak: Projek Kapit-Song-Kanowit-Sibu


Pada hujung minggu baru-baru ini, saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja.

Antara detik-detik indah dalam lawatan saya ini adalah ketika lawatan ke dua buah rumah panjang iaitu Rumah Panjang Cr Andrewson Ngalai Asom di Selangau dan Rumah Panjang Taboh di Kanowit.

Ketibaan saya di Rumah Panjang Cr Andrewson Ngalai Asom disambut mesra oleh penghuni dengan tarian dan nyanyian lagu kegemaran saya ‘Wawasan Bekikis Bulu Betis’ yang digubah oleh tuai rumah sendiri, Andrewson Ngalai. Negeri Sarawak sememangnya terkenal dengan budaya dan adat resam dan saya kagum melihat warisan ini terus dibudayakan oleh penduduknya.

Terima kasih kepada semua, saya menghargai hospitaliti dan layanan baik yang diberikan.

Fokus lawatan saya kali ini adalah untuk meninjau projek pembangunan di Sarawak yang telah diumumkan oleh Kerajaan. Sejak tahun 2009, saya telah menegaskan bahawa tiada kumpulan yang akan ketinggalan dalam agenda pembangunan negara. Dalam hasrat mencapai negara berpendapatan tinggi, saya sedar masih banyak lagi kawasan dan kelompok masyarakat terutamanya di Sabah dan Sarawak yang memerlukan perhatian Kerajaan Persekutuan dari segi masa dan kewangan.

Oleh itu, Kerajaan tidak pernah mengabaikan pembangunan negeri Sarawak dan sentiasa menyediakan peruntukan terutamanya dari sudut pembangunan infrastruktur, bekalan air bersih, bekalan elektrik serta penambahbaikan jalinan pengangkutan dan jalan raya dalam setiap bajet tahunan Kerajaan Persekutuan sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan sebagai Perdana Menteri. Ini turut digariskan dalam Manifesto Barisan Nasional. Malahan saya telah memastikan kerajaan meletakkan komitmen terhadap pembangunan negara dalam tempoh 5 tahun akan datang, khususnya pembangunan di negeri Sarawak, dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Saya memulakan lawatan projek pembinaan Jalan Kapit-Song-Kanowit-Sibu di Jambatan Sungai Yong bagi melihat kemajuan kerja-kerja pembinaan jalan raya ini. Projek jalan raya Jalan Kapit-Song-Kanowit-Sibu sepanjang 102 kilometer, dengan kos sebanyak RM 800 juta, adalah bertujuan untuk membina akses jalan darat kepada pedalaman Sarawak dengan dunia luar. Buat masa ini, Kapit hanya boleh diakses melalui pengangkutan air di Sungai Rejang.

Bagi tapak pembinaan laluan tiga daerah iaitu Kapit-Song-Kanowit sepanjang 81.9 kilometer, ia telah pun siap 55 peratus.

Saya meneruskan tinjauan Projek Jalan Kapit- Song-Kanowit-Sibu di Kem Seturak yang merupakan projek pembinaan Seksyen C Fasa 3 Jalan Song-Sungai Yong Pakej 1 sepanjang 5.5 kilometer. Seksyen C ini juga melibatkan pembinaan satu jambatan merentasi Sungai Katibas.

Dalam tinjauan terakhir saya untuk melihat perkembangan pembinaan jambatan yang merentas Sungai Kanowit, saya gembira apabila dimaklumkan jambatan dengan kos RM50 juta ini dijangka akan siap pada pertengahan tahun 2017.

Insya-Allah, Projek Jalan Kapit- Song-Kanowit-Sibu ini dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun setengah dan akan memberi manfaat kepada 100,570 penduduk sekitar Kapit, Kanowit serta Song dan mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan air.

Dalam lawatan saya ke Rumah Taboh di Skim Penempatan Semula Rascom, saya telah meluluskan peruntukan RM50 juta bagi pembinaan jalan raya dari Nanga Ngungun ke Nanga Jagau sepanjang 22 kilometer.

Jalan raya ini kelak akan membolehkan penduduk dari Ulu Ngemah yang dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Rascom di Nanga Ngungun kembali ke kampung asal mereka untuk mengerjakan tanah-tanah yang telah ditinggalkan.

Jalan raya itu akan membawa manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk Skim Penempatan Semula Rascom di Nanga Ngungun dan Nanga Jagau.

Saya akan kembali semula melawat Sarawak dan memastikan lebih banyak projek pembangunan infrastruktur pemangkin akan dijalankan bagi memberi lebih banyak faedah kepada rakyat Sarawak. Insya-Allah!

lawatanswk1
lawatanswk2
lawatanswk3
lawatanswk4
lawatanswk5
lawatanswk6