18 November, 2014

Lawatan Kerja 2 Hari Ke Sabah


Saya menghabiskan hujung minggu saya yang lalu di Sabah Negeri Di Bawah Bayu untuk lawatan kerja rasmi selama dua hari. Walaupun jadual kerja saya amat padat, namun sambutan begitu meriah yang saya terima daripada penduduk Sabah sedikit-sebanyak menghilangkan rasa penat yang dirasai. Saya memulakan lawatan kerja kali ini dengan melancarkan Konvensyen UPKO 2014 di Likas pada tengahari Sabtu. Dalam ucapan perasmian, saya telah mengumumkan bahawa laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu pendatang asing di Sabah akan dibentangkan kepada rakyat awal Disember kelak. Sebuah jawatankuasa juga akan ditubuhkan untuk tindakan susulan daripada laporan RCI tersebut, dan akan dipengerusikan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Konvensyen UPKO 2014

Di sebelah malam Sabtu, saya telah merasmikan pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah. Anda boleh baca lebih lanjut mengenai lawatan saya ke UTC di sini.

Pelancaran UTC

Pada tengahari Ahad, hari kedua lawatan kerja di Sabah, saya telah merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-29. Antara lain, ucapan saya menyentuh mengenai tindakan yang akan diambil kerajaan dalam menangani isu pendatang asing di Sabah dengan tidak mengeluarkan sijil kelahiran kepada kanak-kanak tanpa status warganegara, sebaliknya memberikan mereka rekod kelahiran dengan ciri-ciri dan warna berbeza yang tidak melayakkan mereka menerima kewarganegaraan secara automatik. Juga, kerajaan akan menambah program tanggungjawab sosial (CSR) Petronas di Sabah terutamanya di kawasan luar bandar bagi memastikan pembangunan dalam dan luar bandar Sabah lebih seimbang. Berhubung aspek keselamatan, saya menegaskan bahawa kerajaan amat menitikberatkan keselamatan rakyat Sabah yang memilih untuk kekal berada dalam Malaysia. Justeru, peruntukan berjumlah RM660 juta telah disediakan untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).


Seterusnya pada petang Ahad, saya telah merasmikan Perhimpunan Agung ke-25 Parti Liberal Demokratik. Dalam ucapan perasmian, saya menggesa kesemua parti komponen Barisan Nasional supaya bersikap cekal dalam usaha menangani isu-isu yang sengaja diwujudkan bagi menjatuhkan dan menyerang usaha serta dasar kerajaan. Kita juga perlu mengelak daripada menyemai sifat benci dalam kalangan rakyat dengan menunjukkan kepada mereka kemampuan serta keupayaan kerajaan. Selain itu, saya juga mengingatkan kepada semua agar tidak mempolitikkan soal pendidikan kerana ia adalah asas bagi kita mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang wujud di Malaysia. Walaupun masih banyak rintangan dan cabaran yang akan kita tempuhi dalam perjalanan kita menuju status negara maju, kita mampu mengatasinya bersama kerana asas-asas negara masih terpelihara.