Lawatan Kerja ke Amerika Syarikat

By September 10, 2017 Blog, Featured Articles

Insya-Allah, saya akan mengadakan lawatan kerja ke Amerika Syarikat pada 11 hingga 13 Sept atas jemputan Presiden Amerika Syarikat ke-45 Donald J. Trump.

Lawatan ini tepat pada masanya kerana kita baru sahaja menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat pada Julai yang lalu.

Sepanjang 6 dekad yang berlalu itu juga, hubungan kedua-dua buah negara telah berkembang dan semakin erat dari masa ke masa.

Meskipun dari segi saiz negara kita adalah jauh lebih kecil berbanding Amerika Syarikat, Malaysia mempunyai peranan penting dan dipandang tinggi oleh Amerika Syarikat sebagai rakan dagang dan politik di rantau Asia Tenggara.

Malaysia pernah menerima kunjungan 2 Presiden Amerika Syarikat, iaitu Presiden Lyndon B. Johnson pada tahun 1966 dan Presiden Barack Obama pada 2014 dan 2015, membuktikan keakraban antara hubungan kedua-dua buah negara.

Selain itu, Malaysia kini juga menerima kelebihan visa selama 10 tahun bagi kemasukan tanpa had, dan usaha kini di peringkat akhir bagi Program Pengecualian Visa bagi rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat.

Meskipun secara rasminya hubungan diplomatik kita bermula sejak 1957, tetapi sebenarnya ia telah terjalin jauh lebih awal daripada itu.

Sebagai contoh, getah daripada Malaysia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri automotif Amerika Syarikat, dan permintaan tinggi daripada mereka memacu pengeluaran getah di Malaysia.

Pada tahun 2014, hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat telah dinaik taraf ke “Comprehensive Partnership” membabitkan bidang kerjasama utama seperti ekonomi dan perdagangan, pendidikan, pertahanan dan keselamatan serta sains dan teknologi. Hari ini, Amerika Syarikat adalah pelabur kedua terbesar Malaysia.

Melalui lawatan rasmi ini, saya akan menekankan inisiatif rundingan bilateral kedua-dua buah negara dan menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik lagi.

Selain itu, saya juga akan berbincang dengan Presiden Trump mengenai isu anti keganasan di negara serantau, dan juga isu kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.

Insya-Allah, lawatan ini akan berjaya mencapai matlamat dan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat.