20 Februari, 2016

Lawatan Kerja ke Amerika Syarikat


Alhamdulillah, saya telah selamat pulang ke tanah air selepas seminggu di Amerika Syarikat bermula 11 Februari lalu untuk lawatan kerja.

Sebahagian dari tujuan utama lawatan ini adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN, di atas jemputan Presiden Amerika Syarikat, Presiden Barack Obama.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Amerika Syarikat dan juga ASEAN di mana pemimpin-pemimpin Asia Tenggara dijemput bersidang di Amerika Syarikat oleh Presidennya.

us1

Dalam mesyuarat kami para pemimpin ASEAN dengan Presiden Obama, antara perkara dibincangkan adalah soal pertumbuhan ekonomi, hubungan dagangan ASEAN-ASEAN, soal keselamatan rantau, kaunter-keganasan dan isu Laut China Selatan.

Kesimpulannya, sidang kemuncak kali ini amat berjaya dan bermakna, menunjukkan sejauh mana kita sebagai sebuah negara, dan juga rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya telah berkembang dan diiktiraf, bukan sahaja oleh Amerika Syarikat, bahkan juga oleh seluruh dunia.

us2

Semasa di sana, saya turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Amerika Syarikat, pemimpin industri serta pengurus dana, memaklumkan kepada mereka mengenai potensi besar Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Kesemua mereka sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai perancangan pembangunan jangka masa panjang yang menyeluruh dan sehingga kini, perangkaan dan indikator ekonomi menunjukkan bahawa kita berada di landasan tepat dengan pertumbuhan yang stabil dan kukuh, Insya-Allah.

us3

Ketika lawatan saya ke Rumah Malaysia untuk berjumpa dengan para pelajar serta rakyat Malaysia yang bekerja di sana, saya telah memberi kata jaminan bahawa sebagai Perdana Menteri, saya akan meneruskan usaha untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

Kita ingin supaya semua rakyat di Malaysia, dari Sabah hingga ke Perlis, merasai bahawa Malaysia adalah negara yang aman dan baik untuk didiami, dan supaya mereka yang berada di luar negara seperti Amerika Syarikat, akan merasa ingin pulang dan menyumbang kepakaran mereka kepada tanah air.

us4

us5

Saya juga turut melawat ibu pejabat Apple dan Tesla di sana, melihat serta berbincang bagaimana rekaan inovasi baru dan teknologi yang sedang mereka usahakan mampu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Anda boleh baca mengenainya di sini. (https://www.najibrazak.com/bm/blog/lawatan-ke-apple-dan-tesla/)

Alhamdulillah, kesemua perancangan dan program lawatan saya ke sana berjalan lancar, dan Malaysia mendapat banyak manfaat daripada lawatan kerja ini.

Walaupun hanya seminggu saya di perantauan, banyak perkara mengenai Malaysia yang saya rindukan. Makanannya, cuacanya, budayanya. Tetapi lebih daripada itu, keramahan serta kesantunan orang Malaysia, tidak boleh jumpa di mana-mana.

There really is no place like home.