Lawatan Kerja ke Sarawak pada 8-10 Februari

By February 12, 2017 Blog, Featured Articles
sarawak tn

Sejak saya menjadi Perdana Menteri, saya diberitahu bahawa saya telah melawat Sarawak sebanyak 52 kali. 

Kerap kali saya ke Sarawak ini ada sebabnya. Salah satu daripada visi saya adalah memastikan pembangunan yang selari antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta Sabah juga.

Saya tidak mahu ada mana-mana rakyat Malaysia atau negeri yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara kita.

Dalam lawatan kerja saya pada 8-10 Febuari 2017 baru-baru ini, saya telah menerima taklimat daripada Kerajaan Negeri mengenai status terkini pelbagai perkara.

sarawak visit

Alhamdulillah, banyak yang telah dicapai dan pembangunan Sarawak kini berada di landasan yang betul, lebih-lebih lagi dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Namun demikian, masih banyak lagi yang perlu kita lakukan dan usahakan, masih ramai lagi yang perlu kita bantu.

Pendekatan turun padang dan melihat sendiri keperluan serta menyelesaikan masalah-masalah di akar umbi oleh pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan ditingkatkan. Kerjasama yang erat ini penting dalam matlamat kita untuk mengutamakan pencapaian dan mendahulukan rakyat.

Lawatan saya kali ini juga amat bermakna kerana ini adalah lawatan saya yang pertama bersama Ketua Menteri yang baru dilantik, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Abang Jo dan saya percaya hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan kekal erat di bawah pentadbiran beliau.

sarawak abg jo

Saya dan Abang Jo mempunyai hubungan yang istimewa. Jika ikutkan sejarah, bapa beliau dan bapa sayalah yang menandatangani Perjanjian Malaysia pada tahun 1963. Oleh itu, kami berdua mempunyai tanggungjawab moral untuk meneruskan legasi kedua arwah ayahanda kami dalam memastikan aspirasi di bawah Perjanjian Malaysia terus dipelihara.

Hak-hak Sarawak akan terus dihormati dan jika ada sebarang hakisan, saya yakin segala usaha akan dilaksanakan untuk membetulkan apa yang salah.

sarawak church

Setakat ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju mengenai 13 perkara berhubung penurunan kuasa dan saya bangga ada perkara yang telah berjaya kita laksanakan seperti pegawai undang-undang negeri dilantik sebagai timbalan pendakwa raya dan peningkatan sebanyak 100 jawatan baru di Jabatan Imigresen Sarawak.

Perbincangan akan terus diadakan untuk perkara-perkara lain antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. 

Saya juga berpendapat bahawa Sarawak adalah negeri model 1Malaysia di mana masyarakat pelbagai kaum dapat hidup secara aman dan harmoni di bawah bumbung yang sama. Rakyat negeri Sarawak bukan sahaja mengamalkan toleransi tetapi mereka meraikan kepelbagaian dan sikap inilah patut dicontohi oleh negeri-negeri lain. 

sarawak 1m

Saya beri komitmen dan jaminan bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan memastikan kesejahteraan masyarakat Sarawak dan seluruh Malaysia terus dipelihara. Saya tegaskan juga bahawa hak kebebasan beragama, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, serta pendidikan vernakular yang dekat di hati masyarakat Sarawak, akan terus dipertahankan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Saya juga sempat melawat Lundu, kawasan Tok Nan, di mana saya telah rasmikan Medan Selera yang merupakan salah satu inisiatif Tok Nan dalam melaksanakan transformasi luar bandar. Saya diberitahu bahawa penduduk di situ menghadapi masalah air dan selaras dengan itu saya telah meluluskan projek penambahbaikan infrastruktur air untuk menaiktaraf kualiti hidup rakyat di Lundu.

Saya yakin calon Lundu, Puan Sri Jamilah Anu yang disayangi masyarakat tempatan, akan dapat meneruskan usaha-usaha Tok Nan dalam mentransformasikan kawasan luar bandar. 

Insya-Allah, semoga usaha-usaha untuk memajukan Sarawak akan terus diberkati Allah SWT.