8 September, 2015

Lawatan mengejut ke Hospital Kajang


Tengah hari tadi, saya telah mengadakan lawatan mengejut ke Hospital Kajang. Hospital ini dibina pada tahun 1889 dan memerlukan perhatian Kerajaan.

Walaupun hospital ini mempunyai kepakaran dan kelengkapan yang mencukupi, namun masih boleh ditambah baik dari segi keselamatan dan keselesaan untuk staf dan pesakit, kapasitinya untuk menampung pesakit sama ada di wad atau di unit rawatan pesakit luar dan beberapa perkara lagi.

Setelah menerima taklimat daripada Pengarah hospital, Dr Kuldip, dan melihat sendiri keadaan di sini, saya mahukan beberapa perkara dilakukan dengan segera.

Pertamanya, peralatan dan kemudahan seperti pendingin hawa perlulah dipasang di mana tiada atau digantikan dengan segera jika tidak berfungsi dengan baik terutamanya di klinik rawatan dan dewan.

Kedua, keselamatan di hospital perlu juga ditingkatkan seperti menaiktaraf pagar kepada tembok dan mengambil beberapa langkah lain.

Pada tahun lepas, Kerajaan telah juga meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menambahkan sebanyak 30 katil pesakit, satu wad dan dua bilik bedah.

Namun demikian, untuk jangka masa panjang, tidak dapat dielakkan penaiktarafan hospital ini bagi memenuhi permintaan penduduk Kajang memandangkan populasi di sekitar telah meningkat banyak sejak diasaskan.

Hampir kesemua bangunan di hospital ini hanyalah satu tingkat dan ini tidak optimum dari segi penggunaan tanah juga.

Kerajaan sedia mempertimbangkan apa-apa sahaja cadangan untuk mengubahsuai dan menaiktaraf Hospital Kajang.

Kesemua ini penting agar kita dapat memberi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dalam keadaan selesa dan selamat kepada mereka yang memerlukannya.

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Datuk Ahmad Zaki Ansore dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Dr Chen Chaw Min akan mengambil tindakan susulan dan melaporkan kepada saya.

AqLxy0OAFG204DwZqsQVVTz1YqZYKGyzSbx5rGjc3WdN