10 , 2015

Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 10 Januari 2015


Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 1
Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 2
Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 3

Saya dan isteri berada di Pekan pagi tadi untuk meninjau keadaan banjir serta kerja-kerja pembersihan, selain menyampaikan bantuan persekolahan kepada para pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan tidak berapa hari lagi. Yayasan Pahang juga telah menaja bantuan persekolahan. Kira-kira 260 murid telah menerima bantuan tersebut dan semua kelihatan gembira. Mudah-mudahan selain meringankan beban ibu bapa mereka, bantuan ini juga akan membuatkan para pelajar ini bersemangat untuk mula bersekolah kelak.

Semasa berucap, saya telah menyatakan bahawa kita memerlukan perspektif baru dalam menghadapi bencana alam termasuk banjir serta mengambil tanggungjawab untuk mengurangkan punca dan kebarangkalian banjir berlaku. Ini boleh dilakukan melalui undang-undang yang telah ditetapkan. Walaupun begitu, saya amat lega dan bangga dengan cara bagaimana bencana banjir ini menyatupadukan semua rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama dengan bantuan yang tiba tidak putus serta usaha sukarelawan yang begitu banyak. Saya turut mengingatkan bahawa kita perlu memastikan bahawa air dan makanan yang kita ambil perlu bersih dan dimasak dengan teliti.

Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 4
Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 5

Saya kemudiannya menyertai program bergotong-royong di Sekolah Kebangsaan Serambi dan Padang Rumbia serta Sekolah Kebangsaan Pelak, Pekan yang terjejas akibat banjir bersama sukarelawan-sukarelawan dari NRC11, Universiti Teknologi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, pelatih Program Latihan Khidmat Negara, syarikat Sapura, sukarelawan Pejabat Perdana Menteri serta sukarelawan-sukarelawan yang lain.

Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 6
Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 7

Insya-Allah hasil usaha gotong-royong ini, sekolah-sekolah ini akan bersedia untuk memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi. Pada kesempatan sama saya turut ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah mengorbankan masa dan tenaga sepanjang bulan ini untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Saya seterusnya melakukan lawatan kawasan banjir di Kampung Lamir, Pekan, dan dalam sidang media berkaitan, saya telah menyatakan bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghadapi banjir besar akan dirangka untuk dijadikan garis panduan dan insya-Allah dijangka akan dibentangkan pada Kabinet dalam tempoh enam bulan akan datang.

Lawatan Meninjau Kawasan Banjir Di Pekan 8

SOP ini kelak akan merangkumi pelbagai aspek antaranya penambahan aset dan latihan simulasi. SOP yang ada kini hanyalah bagi menghadapi banjir biasa, menyebabkan keperluan untuk SOP baru diadakan bagi membolehkan kerajaan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar berlaku di masa hadapan.

Pengurusan semasa dan pasca banjir telah dibahagikan kepada tiga peringkat yakni bantuan terhadap bencana banjir, membersihkan sekolah dan juga kemudahan awam agar ia dapat beroperasi seperti biasa, dan terakhir sekali menumpukan kepada membina kembali kediaman yang musnah. Buat masa kini, keutamaan adalah untuk membina rumah baru bagi mangsa banjir yang kehilangan kediaman.