17 Disember, 2017

Lawatan Rasmi ke Bahrain pada 15-16 Disember


Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Bahrain pada 15 – 16 Disember ini atas jemputan Perdana Menteri Bahrain, YM Putera Khalifa bin Salman Al Khalifa, telah menghasilkan beberapa perkembangan yang sangat positif lagi bermakna.

Pertamanya, saya telah diberi penghormatan yang teristimewa dalam lawatan ini kerana telah dianugerahkan darjah kebesaran King Hamad (Al Nahda) First Medal oleh Raja Bahrain, YM Raja Hamad bin Isa Al Khalifa sendiri. Ini merupakan anugerah tertinggi Kerajaan Bahrain kepada pemimpin luar negara dan saya merupakan pemimpin pertama dari luar Bahrain yang dikurniakan darjah kebesaran ini.

Setinggi-tinggi penghargaan daripada saya dan delegasi Malaysia kepada Raja Bahrain atas penganugerahan darjah kebesaran ini.

Keduanya, saya diberitahu bahawa saya dan delegasi Malaysia merupakan pemimpin dan rombongan yang pertama diundang untuk menjadi tetamu kehormat pada Hari Kebangsaan Bahrain.

Saya telah mengambil kesempatan ini membuat keputusan di mana pada Hari Kemerdekaan tahun hadapan, Malaysia boleh menghantar satu rombongan kebudayaan yang melibatkan kumpulan orkestra dan kumpulan Permata untuk kita membuat persembahan di Bahrain.

Sentimen mereka terhadap Malaysia amat positif dan boleh kita manfaatkan dalam bentuk lawatan people to people melalui bidang kebudayaan dan pelancongan, selain kemungkinan kita tingkatkan lagi pelaburan dua hala antara Malaysia dan Bahrain.

Setelah mendengar taklimat yang telah diberikan oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain semalam, saya berpendapat bahawa terdapat beberapa perkembangan yang berpotensi di mana 2 bidang telah dikenal pasti sebagai mempunyai kemungkinan yang terbaik untuk dibangunkan.

Bidang pertama yang menjadi fokus adalah kewangan Islam di mana Bahrain berhasrat untuk menjadi pusat kewangan Islam di rantau ini. Dalam bidang ini, mereka mengiktiraf Malaysia sebagai mendahului negara-negara Islam yang lain dan pihak Bahrain berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia. Setelah mempertimbangkannya, saya akan mengarahkan Bank Negara Malaysia untuk mengadakan rundingan secara lebih mendalam dengan bank pusat di Bahrain untuk mengenal pasti aspek-aspek kewangan Islam yang boleh kita bekerjasama dan menjadi pelengkap sesama kita.

Fokus kedua pula ialah bidang kesihatan dan dalam hal ini, kerjasama bersama dengan Khazanah berkemungkinan memandangkan Khazanah mempunyai kekuatan dalam bidang kesihatan yakni melalui IHH Healthcare Berhad, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang kedua terbesar di dunia.

Saya amat berterima kasih dan menghargai layanan yang telah diberikan kepada saya dan delegasi Malaysia sepanjang lawatan kami. Ia boleh dikatakan amat baik sangat luar biasa juga.

Bagi saya, ini jelas menunjukkan hasrat Baginda dan kerajaan Bahrain untuk menjadikan hubungan antara Malaysia dan Bahrain sebagai satu hubungan yang berpotensi dan hubungan yang sangat akrab bukan sahaja dari segi G2G, malah secara peribadi juga.

Antaranya, Bahrain melalui Baginda, boleh menjadi rakan untuk Malaysia merujuk beberapa perkembangan di Timur Tengah. Malaysia boleh mendapat pandangan dan mengetahui secara lebih mendalam tentang apa sebenarnya tafsiran mereka atas isu-isu ataupun perkembangan semasa di kawasan Timur Tengah memandangkan Baginda sendiri mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Hubungan rapat Baginda dengan negara-negara GCC juga membawa manfaat kepada kita dari segi peluang untuk meningkatkan lagi kedudukan Malaysia di kalangan negara-negara Teluk.

Selain Raja Bahrain, saya juga berpeluang bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa. Baginda adalah seorang yang berpengetahuan meluas selain mempunyai hubungan yang begitu baik dengan pemimpin-pemimpin dunia lain.

Menilai lawatan ini secara keseluruhannya, saya melihat bahawa lawatan ini sangat positif dari segi keberhasilannya dan mengukuhkan lagi hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan Bahrain.