21 Disember, 2017

Lawatan Rasmi ke Maldives 19-20 Disember


Atas undangan Presiden Republik Maldives, TYT Abdulla Yameen Abdul Gayoom, saya telah melakukan lawatan rasmi ke Maldives pada 19-20 Disember.

Dalam perjumpaan saya dengan Presiden Abdulla Yameen, saya telah menyatakan bahawa Malaysia bersedia meningkatkan kerjasama dengan Maldives dalam pelbagai bidang, antaranya dalam bidang pembangunan modal insan melalui kursus-kursus jangka pendek seperti Malaysian Technical Cooperation Programme selain memorandum persefahaman yang kita telah tandatangani pada lawatan ini termasuklah latihan yang akan diberikan kepada anggota-anggota bomba mereka di Malaysia.

Saya difahamkan juga bahawa dalam bidang pengajian tinggi, terdapat seramai 1,700 pelajar Maldives di Malaysia, termasuklah 65 pelajar perubatan. Saya telah mengambil kesempatan ini untuk mengesyorkan agar kedua-dua negara mengambil tindakan dari segi pengiktirafan ijazah dan pusat pengajian memudahkan mereka untuk bekerja sebagai doktor yang bertauliah di Maldives nanti.

Di samping itu, saya telah mengetengahkan kemungkinan kerjasama dalam bidang halal memandangkan pensijilan halal Malaysia melalui JAKIM merupakan penanda aras kepada piawaian halal sedunia, selain kerjasama dalam bidang kewangan Islam di mana Malaysia amat berpengalaman dan mendahului negara lain.

Kerajaan Maldives telah banyak memberi peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur di sini, antaranya, antaranya Sime Darby sedang membina sebuah hospital swasta di Maldives yang mengandungi 300 buah katil dan saya yakin berdasarkan kepada hubungan baik antara kedua-dua negara, lebih banyak lagi syarikat akan dapat peluang meluaskan perniagaan mereka dan meningkatkan pelaburan mereka ke sini.

Saya dapat lihat bahawa Maldives memandang tinggi kepada Malaysia sebagai sebuah negara dengan model ekonomi yang boleh dicontohi, dan kedua-dua negara juga mempunyai pendirian yang sama berkaitan dengan isu-isu antarabangsa seperti isu Palestin, Rohingya, menentang keganasan dan sebagainya.

Ini merupakan lawatan rasmi saya yang pertama ke sini dan sepanjang 2 hari berada di sini untuk perbincangan rasmi, saya dan delegasi Malaysia telah mendapat layanan yang sangat baik dan mesra. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Abdulla Yameen dan Kerajaan Maldives.