Lebuhraya Pan Borneo Sabah Jajaran Putatan-Inanam

By November 18, 2017 Blog, Featured Articles

Alhamdulillah sebagai bukti kesungguhan dan komitmen Kerajaan, pakej dari Putatan ke Inanam bagi Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 19.6km akan dimulakan kerja-kerja pembinaannya hari ini.

Ini merupakan satu lagi detik bersejarah bagi Negeri Sabah, selepas pelancaran beberapa pakej seperti:
• Pakej Papar-Donggongon pada 24 April 2016 di Papar
• Pakej Tawau-Semporna pada 28 Mei 2016 di Tawau
• Pakej Jalan Pintas Lahad Datu pada 19 Disember 2016 di Lahad Datu
• Pakej Sindumin-Kampung Melalia pada 4 Mac 2017 di Sipitang, Sabah.

Saya percaya Lebuhraya Pan Borneo ini bakal menjadi pemangkin lonjakan baru kepada demografi sosio ekonomi Sabah dan Sarawak mencakupi peningkatan kualiti hidup, pembangunan koridor baru ekonomi serta membuka peluang-peluang baru kepada masyarakat setempat.

Ini juga selaras dengan Aku Janji Kerajaan pada 13 April 2013 untuk menyediakan jaringan jalan raya yang lebih efisyen dan selamat kepada penduduk Sabah dan Sarawak. Maka hari ini sekali lagi, Aku Janji tersebut direalisasikan.

Sesungguhnya Projek Lebuhraya Pan Borneo ini adalah antara projek infrastruktur dan infrarakyat terbesar negara, menyediakan kesalinghubungan yang amat diperlukan antara kawasan pedalaman dan kawasan bandar di Sabah dan Sarawak.

Jika dilihat dari segi ekonominya pula, ia mampu meningkatkan efisiensi dan kecekapan, serta mengurangkan kos dengan menyediakan point-to-point connectivity yang lebih cepat dengan kos pengangkutan barangan yang lebih murah.

Melalui model Project Delivery Partner (PDP), kerajaan yakin dapat melaksanakan projek ini mengikut jadual dengan Key Performance Indicator atau KPI yang telah ditetapkan.

Dengan jarak 1,236km, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan menelan belanja sebanyak RM12.86 bilion dan akan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan.

Sepertimana projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, ia juga merupakan lebuh raya yang dibina Kerajaan tanpa tol. Keputusan tidak mengenakan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo ini adalah konsisten dengan dasar semasa Kerajaan memandangkan lebuhraya ini dibina melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan raya sedia ada.

Jajaran sepanjang 19.6km di bawah pakej Putatan-Inanam dengan anggaran kos RM900 juta yang dilancarkan hari ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan jajaran yang akan merentasi Kota Kinabalu, atau juga dikenali sebagai Jalan Raya Pesisir Luar Kota Kinabalu. Keseluruhan Jalan Raya Pesisir Luar Kota Kinabalu ini akan menyaksikan pembinaan jalan raya dan naik taraf jalan kepada empat lorong dua hala yang merangkumi tujuh jambatan baru, enam persimpangan bertingkat dan 10 jejantas untuk pejalan kaki.

Apabila siap kelak, jalan ini akan menyediakan akses perhubungan darat yang selesa, cekap dan selamat kepada 3.9 juta penduduk Sabah amnya dan 700 ribu penduduk di sekitar Kota Kinabalu khasnya.

Hasilnya, penduduk Putatan dan Inanam akan menikmati satu laluan jalan raya baru yang akan membuka kawasan-kawasan baru serta merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat. Ini akan memudahkan urusan logistik dan pasaran hasil pertanian di daerah Inanam dan juga melonjakkan aktiviti pelancongan di daerah Putatan, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui kedua-dua industri tersebut di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Projek ini juga akan menjadi game changer kepada landskap pembangunan sosio-ekonomi negeri Sabah dan Sarawak. Projek ini berupaya mengulangi kejayaan atau success story projek-projek lebuhraya raya di Semenanjung Malaysia yang telah berjaya mentransformasikan pembangunan di kawasan sekitarnya. Strategi utama Kerajaan adalah supaya Lebuhraya Pan Borneo ini akan memperkukuh dan memperluaskan rangkaian jalan raya bagi kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.

Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa projek ini, perlu dilihat daripada aspek yang lebih luas terutama daripada segi value chain di mana peluang-peluang penglibatan dapat diberikan kepada kontraktor-kontraktor tempatan Sabah daripada pelbagai peringkat pelaksanaan samada sebagai konsultan, vendor, pembekal mahupun kontraktor. Projek ini akan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi di kalangan anak tempatan negeri Sabah.

Di samping itu, projek ini juga membuka pintu kepada lebih banyak pelaburan di wilayah koridor Sabah dan ini bertepatan dengan misi dan objektif mempromosikan keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Negeri Sabah atas kerjasama untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang.