15 Mei, 2015

Malam Media Perdana 2015


Saya sering kali menyebut bahawa zaman atau era Kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu. Ini secara tidak langsung menunjukkan Kerajaan kini lebih terbuka dalam menerima pandangan ke arah melancarkan proses pembangunan negara.

Selain itu, landskap media maklumat di negara ini telah mengalami perubahan yang amat pesat dan pantas. Kehadiran media cetak dan media elektronik telah dilengkapi dengan kemunculan media dalam talian dan ditambah lagi dengan kemunculan media sosial dan Internet sebagai medium baharu.

Sebagai contoh, 40 tahun lalu, ketika saya mula-mula berkecimpung dalam politik, saya mempunyai masa untuk respon kepada sesuatu isu, kerana selalunya kenyataan boleh dibuat 1 hari selepas sesuatu insiden. Kini, dalam ‘kesegeraan dunia’ atau dunia yang serba segera lagi pantas, masyarakat awam mahu respon jawapan segera terhadap sesuatu isu.

Media memainkan peranan besar dalam mencorak arus pembangunan dan kemajuan negara. Oleh yang demikian, malam semalam saya telah menghadiri majlis bagi menghargai pengamal media sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam bidang penyiaran, percetakan dan media digital yang sentiasa bertungkus-lumus memberi laporan terbaik kepada rakyat.

Saya juga menyeru kepada semua pengamal media, untuk terus membantu Kerajaan terutama dalam membetulkan perspektif dan persepsi negatif serta propaganda songsang, yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang cuba merosakkan perpaduan dan kestabilan antara kaum serta rakyat berbilang bangsa di negara ini.

perdana fb 1

perdana fb 2