Malam Penuh Keberkatan – Lailatul Qadar

By June 27, 2016 Blog, Featured Articles
NRramadan_W4fblink

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
– Surah Al-Qadr, ayat 1-5

Benarlah kata-kata pujangga, masa itu berlalu pantas tanpa kita menyedarinya. Dalam sedar tak sedar, kita telah meniti masuk ke penghujung Ramadan tahun ini.

Alangkah beruntungnya sekiranya kita telah memanfaatkan dan mengambil sepenuhnya peluang beribadah sepanjang hari-hari berpuasa yang telah berlalu, tetapi seandainya ia berlalu tanpa kita memanfaatkannya, masih belum terlambat untuk kita beramal dan beribadah mengumpul pahala dan rahmat Allah SWT yang berlipat ganda di bulan penuh keberkatan ini.

Lebih-lebih lagi di penghujung Ramadan, yang di mana di dalamnya terdapat begitu banyak keberkatan, sehinggakan baginda Rasulullah SAW sendiri menghidupkan malam dengan memperbanyakkan ibadah dan amal kepada Allah SWT.

Di dalam sebuah hadis daripada Aishah RA: “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadan, baginda menghidupkan malam dengan melakukan Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan, mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)”. Wallahu’alam.

Di penghujung Ramadan itu juga, atau lebih tepat lagi pada 10 malam terakhir, terdapat sebuah malam yang dinamakan sebagai malam Lailatul-Qadar.

Sebagaimana di dalam Surah Al-Qadr, malam Lailatul-Qadar itu adalah lebih baik daripada 1,000 bulan. Bermakna pada malam tersebut, pahala amal ibadah kita bersamaan dengan pahala sekiranya kita beramal dan beribadah untuk 1,000 bulan.

Masya-Allah, sesungguhnya amat beruntunglah umat Muhammad kerana dikurniakan kelebihan ini oleh Allah SWT, kelebihan yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana umat lain sebelumnya.

Oleh itu, marilah kita menggunakan peluang rahmat dan kelebihan yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita, sama-sama kita hidupkan malam-malam terakhir Ramadan ini dengan ibadah dan berterusan berdoa, semoga kita dipertemukan dengan malam Lailatul-Qadar, Insya-Allah.