31 Ogos, 2017

MALAYSIA HARUS MELANGKAUI BATAS-BATAS KEJAYAAN YANG LAZIM


PERUTUSAN MERDEKA 2017

BismillahirRahmanirRahim,
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nasta’in,
Allahhumma Solli A’la Saidina Muhammad wa A’la A-li Saidina Muhammad,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera, Salam Negaraku dan Salam 1Malaysia,

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

1. Dimulai kalam, marilah kita mengangkat segala rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, lantaran izin dan limpahan kurniaNya jua, maka kita berpeluang serta berkesempatan untuk menyambut hari kemerdekaan negara buat kali ke-60.

2. Tentu sekali, kemerdekaan ini bukanlah barang mainan, sebaliknya ia mengajar kita supaya mampu berdiri di atas kaki sendiri, menjadi lebih matang dan dewasa, mampu berdikari, membina negara serta membangunkan pertiwi. 

3. Sesungguhnya, Merdeka membawa seribu satu pengertian. Setiap tahun yang kita lalui sebagai sebuah negara bangsa sepanjang 60 tahun ini telah menzahirkan makna yang tersendiri.

4. Jika kita boleh andai dan ibaratkan Malaysia umpama sebatang pokok. Benih yang telah disemai 6 dekad yang lampau, kini akarnya terpasak mengumbi, mencengkam ke bumi.

5. Manakala pohonnya menunjang megah, bercabang dahannya kukuh dipaut. Rendang daunnya pula merimbun diteduh. Bunganya juga, kian harum dan membening serta buahnya makin manis seluruh.

Saudara dan Saudari,

6. Demikianlah ceritera Malaysia, dekad demi dekad, melalui pelbagai era, pada 50-an di zaman awal kemerdekaan, membawa ke tahun-tahun 70-an membina pembangunan, 80-an dan 90-an babak-babak bermulanya pemodenan dan kemajuan, sehinggalah kini sedang mensusuri Transformasi Sebuah Negara Bangsa,  yang benar-benar bakal dijulang dalam gelanggang 20 negara terbaik dan terunggul di persada antarabangsa.  InsyaAllah. 

7. Justeru, jika merujuk di sudut ilmiahnya, dalam kamus peradaban dunia, Malaysia masih terangkum dalam gugusan negara muda, berbanding lain-lainnya yang jauh lebih lama bernegara serta merdeka.

8. Kendatipun begitu, jelas sekali, kadar pembangunan, pertumbuhan dan kemajuan negara kita berpecut pada kadar yang sungguh signifikan terutamanya sejak tahun 2009 dengan berpaksikan falsafah 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

9. Seiring itulah pentadbiran Kerajaan ini sejak 8 tahun yang lalu, tidak pernah berlengah-lengah sejak awalnya, bahkan amat komited dengan pelbagai dasar serta inisiatif demi memakmur negara dan mensejahterakan rakyat.

Saudara dan Saudari sekalian,

10. Sekalipun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia turut tidak terkecuali dihadapkan dengan kemelut ekonomi global, namun melalui perancangan yang strategik lagi berhemah serta pentadbiran dan pelaksanaan yang cekap juga sistematik telah menjadikan ekonomi kita terus kekal berdaya tahan.

11. Lantaran itu, kita harus bersama,… merafak syukur ke hadrat Allah SWT, pada sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-60 ini, Malaysia terus mencatat kejayaan demi kejayaan serta rekod-rekod prestasi yang amat memberangsangkan.

12. Buktinya,… kesemua angka dan fakta tersebut bukanlah dipetik dari omongan kosong atau retorik semata-mata, tetapi, telah diabsah dan dipersahihkan oleh badan-badan penilaian yang diiktiraf lagi berwibawa.

13. Segalanya telah saya bentangkan selaku Perdana Menteri mewakili Kerajaan dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara yang telah masuk kali ke-6 pada Mei yang lalu.

14. Walau apapun, Titian Kemerdekaan yang kita lalui saban tahun ini, tidak mungkin menjadi realiti tanpa wujudnya keamanan dan kestabilan.

15. Kerana itulah,… kita tidak boleh sesekali lupa akan jasa dan pengorbanan para pejuang, anggota-anggota keselamatan serta tentunya juga pasukan perajurit yang sentiasa berkawal demi menjaga kedaulatan dan kesentosaan di segenap penjuru tanahair.

16. Selain itu, perayaan kemerdekaan negara kita tahun demi tahun semakin mantap dan mendalam maksudnya. Dalam erti kata lain, tiap kali menjelangnya sambutan, ia menjadi satu momentum yang menganjak kita jauh ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa yang berjati diri.

17. Makanya,… tidak keterlaluan jika saya menyatakan bahawa, Malaysia layak ditakrif  dan ditafsir sebagai memiliki Jatidiri Negara Bangsa yang dinamik dan tersendiri.

18. Ertinya, selama puluhan tahun kita telah berjaya mewajahkan negara ini dengan dasar, falsafah, formula dan nilai  yang cukup tuntas lagi holistik.

19. Sememangnya lagi, jika dihitung, sifir kejayaan Malaysia adalah berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan serta Ideologi Kebangsaan yang jitu, inklusif lagi saksama.

Saudara dan Saudari serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

20. Sejajar pula dengan Malaysia yang digelar negara Islam contoh lagi progresif, kita secara sedar atau tidak, telah dibimbing oleh bapa-bapa pimpinan serta ilmuwan terdahulu dalam menunjang pentadbiran negara, sejak sekian lama sebenarnya berpegang kepada manhaj Maqasid Syariah, dengan berpendekatan pula prinsip Wasatiyyah atau Kesederhanaan.

21. Sebab itulah, kita mampu berbangga kerana dirujuk oleh ramai sebagai negara yang sedang maju membangun, berteraskan pendirian yang amat jelas dalam hal-hal  seperti menolak ideologi dan fahaman ekstremisme dan kemelampauan, khususnya dalam membanteras serta menentang ancaman anasir Daesh mahupun I.S.

22. Hatta, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, telah berkenan untuk memilih Malaysia sebagai Pusat Keamanan Antarabangsa. Begitu juga, kita turut menolak fahaman terpesong pluralisme dan dalam apa-apa jua hal, lunas sandaran kita tidaklah terlalu ekstrem dan bukan juga terlalu liberal.

23. Jadinya, berdiri di atas semua inilah, kisah kemerdekaan Malaysia terus diisi dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang disegani oleh kawan dan lawan.

24. Pucuk pangkalnya, di era pentadbiran Kerajaan ini,… saudara dan saudari,… tiada hadiah yang lebih istimewa kepada rakyat, sebagai pengisian sebenar kepada sebuah kemerdekaan, melainkan menjadi Kerajaan yang mampu  menyampai serta melaksana, atau dalam Bahasa Inggeris nya, the ability to deliver janji-janji yang dibuat dari masa ke semasa.

Saudara dan Saudari sekalian,

25. Merujuk kepada kejayaan negara, kita bersyukur kerana baru-baru ini KDNK suku kedua 2017 mencatatkan  pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.8 peratus, yakni antara yang tertinggi di dunia. 

26. Malah, majalah Forbes telah meletakkan Malaysia pada kedudukan paling atas di antara semua negara Asia untuk pelaburan asing.

27. Bahkan baru-baru ini, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A-.

28. Mutakhir pula, kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia kini bertambah kepada 431 bilion ringgit, yakni jumlah rizab yang semakin kukuh.

29. Lalunya, bagaimana mungkin sesetengah pihak sesuka hati menuduh bahawa, Malaysia sekarang ini sebagai sebuah negara gagal, atau a failed state, sedangkan pada era 90-an, di mana kedudukan rizab yang jauh lebih rendah sebenarnya waktu itu, tidak pula dikatakan sebagai negara yang gagal.

30. Apa yang penting saudara dan saudari,… Kerajaan ini tidak mahu membuang masa untuk terjebak dan melayan jalan percanggahan, sebaliknya komited dan bertekad menumpu sepenuh kudrat dan usaha merencana agenda kepesatan ekonomi, demi maslahah rakyat terbanyak.

31. Mustahaknya jua, Kerajaan ini percaya dalam ikhtiar mengkhidmati rakyat, ia harus bersifat melangkau politik dan berorientasikan kepentingan rakyat.

32. Oleh yang demikianlah, Kerajaan ini akan terus mengutamakan Projek-Projek Infra-Rakyat seperti MRT yang jelas bertaraf dunia dan sudah berjaya disiapkan, bakal membawa impak kepada 500 ribu pengguna setiap hari. Begitulah juga, projek-projek East Coast Rail Link, Lebuhraya Pan-Borneo serta High Speed Rail yang sedang rancak dan bakal dibina.

33. Di samping itu, inisiatif dan bantuan di bawah jenama 1Malaysia antaranya, BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, PR1MA serta Klinik 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan bantuan-bantuan kepada para petani, pekebun kecil, nelayan serta para peneroka FELDA, akan terus diperuntuk serta dipergiat demi kebajikan masyarakat teramai.

34. Apa yang paling mustahak, kita mesti tentukan bahawa, kita meletakkan pencapaian kita melangkaui batas yang lazim atau “with all the achievements, we must always raise the bar high and continue to keep the bar high for Malaysia”.

35. Sebetulnya pun, nikmat kemerdekaan seiring dengan tema pada tahun ini, iaitu “NegaraKu: Sehati Sejiwa” seharusnya melimpah-limpah dari Semenanjung hinggalah ke Sabah dan Sarawak.

36. Peri pentingnya, dalam roh dan semangat kemerdekaan, kini bukanlah masa untuk kita berpecah belah. Walau apa pun dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa sebaliknya harus mara ke hadapan, selaras dengan aspirasi serta Falsafah TN50 untuk menjadi negara par excellence yang bergenerasikan Khayra Ummah.

37. Pokoknya, kita mesti menjayakan Dasar Digital Malaysia dan mempersiapkan negara untuk melangkah dengan megah dan bijak menuju era Revolusi Perindustrian Ke-empat atau “The fourth Industrial revolution”.

38. Lantaran itu, marilah sama-sama kita mensyukuri nikmat kemerdekaan, kita bersatu dan berganding bahu, membina matlamat, merencana halatuju, demi mencapai impian 1Malaysia Negaraku. Kepada Allah kita berdoa dan berharap, semoga negara ini terus bergemerlapan dengan cahaya kemajuan, makmur lagi sentosa. Sekali kita merdeka, selamanya tetap merdeka, merdekalah Malaysia sampai bila-bila.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Official Addresses