2 Ogos, 2017

Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi Menjelang 2020


YAB Perdana Menteri menjawab pertanyaan YB Jasin Datuk Seri Haji Ahmad Bin Hamzah berkenaan tahap kebarangkalian Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 setelah mengambilkira unjuran BNM bahawa ekonomi negara akan kembali kukuh pada tahun ini dan unjuran IMF pula bahawa ekonomi dunia juga kembali mantap. Berikut adalah jawapan YAB Perdana Menteri – Admin

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Sebenarnya, salah satu ukuran atau panduan yang paling mudah untuk mengetahui sasaran status pendapatan tinggi sesebuah negara adalah melalui unjuran Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita dan juga Pariti Kuasa Beli per kapita.

Sungguhpun begitu, tatkala saya mengambil alih tampuk kepimpinan pada tahun 2009 yang lalu, saya telah menetapkan bahawa, untuk Malaysia mencapai kedudukan sebuah negara maju High Income Advanced Economy perlulah bersifaf inklusif, yakni merangkumi kualiti kesejahteraan kehidupan rakyat dan bukan sekadar sasaran kuantitatif. Sebagai contoh, public happiness, aman dari jenayah, alam sekitar yang bersih, keindahan seni dan budaya, internet connectivity serta sebagainya.

Dalam hal ini, mengikut laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi dunia dijangka mencatat pertumbuhan 3.5 peratus pada 2017 dan 3.6 peratus pada 2018, yakni lebih baik berbanding pertumbuhan 3.2 peratus yang dicatatkan pada 2016. Pertumbuhan ini disokong oleh ekonomi negara-negara membangun yang dijangka mencatat prestasi lebih baik terutamanya negara China, India dan kebanyakan negara ASEAN. Baru-baru ini juga, IMF telah menyemak semula unjuran mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2017 daripada 4.5 peratus kepada 4.8 peratus. Malah, Bank Dunia juga telah meramalkan anggaran unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.9 peratus, berbanding unjuran asal 4.3 peratus.

Sungguhpun pertumbuhan ekonomi dunia dijangka kembali pulih, Malaysia tetap terdedah kepada beberapa risiko pada peringkat global seperti ketidaktentuan dasar negara-negara maju; volatiliti pasaran kewangan; dan peningkatan sentimen perlindungan (protectionism) perdagangan, harga minyak serta risiko geopolitik. Namun begitu, pelan ekonomi Kerajaan yang berpandangan jauh serta langkah proaktif Kerajaan dalam melaksanakan keputusan penting telah membina daya tahan ekonomi negara untuk menghadapi cabaran luar.

Ini telah terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama 2017. Prestasi KDNK ini disokong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta. Pelaburan swasta mencatat pertumbuhan dua angka iaitu sebanyak 12.9 peratus, manakala penggunaan swasta meningkat  6.6 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

Di sudut ini, antara 2009 dan 2016, PNK per kapita telah meningkat kepada 51.8 peratus dan terkini PNK per kapita Malaysia telah meningkat kepada 9,850 dolar Amerika. Berdasarkan sasaran pendapatan tinggi mengikut perkiraan Bank Dunia iaitu melebihi 12,235 dolar Amerika, kita telah mengurangkan jurang ke sasaran pendapatan tinggi daripada 38 peratus kepada 19 peratus. Ini jelas membuktikan bahawa, Kerajaan ini telah melaksanakan dasar-dasar secara konsisten menerusi Model Baharu Ekonomi sejak 2010, sehingga berupaya mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Tuan Yang Dipertua,

Oleh yang demikian, Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan semua sektor ekonomi sentiasa berdaya tahan dan berdaya saing pada peringkat domestik dan global bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh. Ini termasuklah mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan, mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan minyak dan gas, menyediakan persekitaran kondusif bagi menarik pelaburan asing dan domestik, meningkatkan perdagangan dan produktiviti serta memperkukuh keupayaan inovasi dan teknologi negara.

Tuan Yang Dipertua,

Kesimpulannya, pelbagai inisiatif kejayaan ini, ternyata menyangkal tohmahan kononnya Malaysia adalah ‘A Failed State’ atau sebuah negara yang gagal.

Sebaliknya, Kerajaan telah menyediakan Pelan Transformasi Nasional untuk mengangkat Malaysia menuju status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Namun, pencapaiannya sepenuhnya tergantung kepada persekitaran dalaman dan luaran yang kondusif.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Speeches