28 September, 2017

Memperkasakan Rakyat, Memajukan Negara


Alhamdulillah, semalam saya dapat berkumpul bersama ramai dalam Majlis Pelancaran Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional atau TVET yang bertemakan “Memperkasakan Rakyat, Memajukan Negara”.

Sejak 6 dekad yang lalu, TVET telah memainkan peranan penting bagi membolehkan kita sentiasa ‘up to date’, mengadaptasikan perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas dan sememangnya, Kerajaan telah menubuhkan institusi pendidikan teknikal dan kemahiran ini seawal tahun 60an lagi.

Bermula dengan hanya 4 institusi TVET pada sekitar tahun 1960an, termasuk IKBN Dusun Tua, yang telah dirasmikan oleh Ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1969, kini, setelah lebih 45 tahun, Alhamdulillah, kita boleh berbangga kerana, telah ada lebih 1,300 institusi TVET Awam dan Swasta di seluruh negara.

Menyedari kepentingan transformasi TVET sebagai game changer dan agen perubahan dalam peningkatan daya saing, kaliber tenaga kerja serta pembangunan ekonomi negara, Kerajaan terus komited untuk memastikan sistem dan fungsi TVET dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui:

Pertama: Mengiktiraf TVET sebagai teras ketiga di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) iaitu “Meningkatkan Pembangunan Modal Insan” di mana transformasi TVET dijadikan salah satu bidang fokus yang telah dikenalpasti.

Kedua: Menyedia dan melakukan transformasi TVET dalam menghadapi cabaran baharu di ambang era ‘The Fourth Industrial Revolution’ atau Revolusi Perindustrian Keempat dan kemunculan Digital Economy yang disebut ramai sebagai industry of the future.

Dalam menghadapi senario ini, negara perlu mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi supaya bersesuaian dengan suasana kerja dan keperluan semasa industri yang semakin kompleks, khususnya bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan yang berkualiti .

Bagi tujuan ini, Kerajaan telah pun mewujudkan sebuah Jawatankuasa Modal Insan untuk Industri 4.0 yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Ketiga: Meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya untuk membangun keupayaan golongan berpendapatan rendah atau B40, dengan memberi mereka latihan di Institusi TVET.

Golongan B40 ini turut merangkumi penduduk di luar bandar, masyarakat miskin di bandar, orang asli, pelajar lepasan sekolah, termasuklah mereka yang tercicir atau dropouts, ibu tunggal dan penganggur.

Sudah tentu, golongan ini perlu dibantu oleh Institusi TVET agar mereka dapat diberi latihan kemahiran dalam bidang-bidang yang relevan, sesuai dengan kebolehan dan kecenderungan minat mereka.

Saya berkeyakinan, melalui kemahiran yang diperolehi itu, mereka berpotensi untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dan lumayan, mampu berdikari, untuk memulakan perusahaan mereka sendiri walau di mana sahaja, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Saya ambil contoh kisah saudara Mohd Nasrullah bin Yahya, berusia 28 tahun, berasal dari keluarga yang serba kekurangan, telah membulatkan tekad untuk mengubah nasib diri dan keluarganya.

Setelah mendalami bidang dandanan rambut di Giatmara Ampang Jaya selama 6 bulan dan menimba pengalaman bekerja selama 1 tahun, beliau kemudiannya telah membuka sebuah pusat dandanan rambut sendiri, sehingga berjaya mengembangkan perniagaan C-Cut Management Servicesnya dengan memiliki 6 cawangan dan 30 orang pekerja di sekitar Seremban, Negeri Sembilan.

Modal insan yang berkemahiran tinggi sangat penting dalam transformasi ekonomi negara dan berfungsi menutup skill gap atau jurang kemahiran yang dihadapi khususnya oleh industri.

Oleh itu, menuju negara maju berpendapatan tinggi, Kerajaan komited dalam menganjak sekurang-kurangnya 5 lonjakan transformasi TVET seperti berikut:

Pertama: Melatih dan meningkatkan tenaga mahir tempatan secara berterusan agar mereka menjadi kompetitif, berpeluang memiliki pekerjaan dan pendapatan yang lumayan serta menikmati taraf hidup yang lebih baik, yang kini jumlah mereka hampir 28 peratus dan disasarkan meningkat kepada 35 peratus menjelang tahun 2020.

Malahan, melalui program pendidikan dan latihan yang dilaksanakan di Institusi TVET, Kerajaan berhasrat untuk melatih 300 ribu orang rakyat Malaysia dari Golongan B40 dari tempoh sekarang sehingga tahun 2025.

Menjengah ke depan pula, Kerajaan berhasrat untuk membangunkan pekerja mahir di negara kita ke tahap yang lebih tinggi, supaya peratusan mereka setanding dengan negara-negara maju yang lain dengan mensasarkan sekurang-kurangnya mencapai 45 peratus pekerja mahir menjelang tahun 2030, menghampiri peratusan negara maju seperti Switzerland iaitu pada sekitar 50 peratus.

Pada masa yang sama, mulai sekarang sehingga tahun 2025, Kerajaan sedang berusaha melatih dan meningkatkan bilangan tenaga pengajar terlatih dalam bidang TVET, dengan mensasarkan seramai 20 ribu orang lagi tenaga pengajar vokasional atau Vocational Training Officer, sekaligus boleh menyumbang kepada peningkatan bilangan lulusan TVET.

Selain itu, tenaga pakar dalam bidang TVET juga akan ditambah bilangannya seramai 4 ribu orang lagi dalam pelbagai bidang TVET menjelang tahun 2025.

Di sudut ini, suka saya berkongsi kisah Nik Nasaruddin Husain, yang berasal dari Setiawan, Perak, lulusan Politeknik Banting Selangor tahun 2010. Hasil usaha gigihnya, beliau telah meningkatkan kemahirannya secara berterusan, sehingga kini mempunyai kelayakan profesional dalam bidang teknikal dan menjadi pakar dalam pemeriksaan ujian tanpa musnah atau Non-Destructive Test Inspection.

Meskipun beliau bekerja secara “freelance”, namun masih mampu memperolehi pendapatan antara RM20 ribu hingga RM28 ribu sebulan.

Kedua: Memperkukuh dan memperhebatkan lagi kerjasama strategik Public-Private Partnership atau antara TVET Awam serta pihak industri, bagi membentuk sinergi terutamanya dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran.

Kerjasama strategik sebegini boleh direalisasikan dalam pelbagai bentuk seperti, industri menyumbang kepakaran atau mesin dan peralatan, dalam melatih tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh pasaran industri.

Contoh terbaik yang boleh kita saksikan adalah melalui kerjasama antara PETRONAS dan Institut Latihan Perindustrian atau ILP, di mana pihak PETRONAS telah menyumbang peralatan dan bahan latihan bagi melatih jurukimpal yang mahir sejak dari 2008 sehinggalah sekarang.

Begitu juga dengan pihak Samsung Malaysia Electronics, yang telah menubuhkan Samsung Tech Academy di ILP bagi melatih tenaga mahir dalam bidang elektronik.

Selain itu, inisiatif syarikat CTRM Aero Composites dalam melatih tenaga kerja mahir di bidang komposit melalui kerjasama dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Institusi Latihan Kemahiran Awam tempatan seharusnya diberi pujian.

Menariknya, melalui program ini, pelajar-pelajar yang telah tamat menerima latihan asas di Institusi TVET, akan diambil bekerja dengan pihak syarikat CTRM Aero Composites.

Bagi pihak Kerajaan, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua syarikat serta pihak industri atas penglibatan mereka dalam kerjasama strategik ini.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua khususnya pihak industri dan Institusi TVET agar dapat mencontohi dan mempergiatkan lagi kerjasama sedemikian dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk memartabatkan TVET ke peringkat yang lebih tinggi.

Ketiga: Bagi lulusan bidang TVET, peluang kerjaya sebenarnya tidak hanya terhad untuk bekerja di dalam industri, malahan, lulusan TVET juga boleh menceburi bidang perniagaan, khususnya technopreneurship atau menjadi usahawan tekno dalam bidang teknikal.

Melalui perniagaan yang mereka dimiliki, bukan sahaja boleh mewujudkan peluang pekerjaan, malah menjadi ikon atau mentor kepada lulusan TVET lain, yang secara tidak langsung berupaya mewujudkan satu chain reaction effect yang positif.

Selain itu, saya juga mahukan agar lulusan TVET negara menjadi global players yang mampu bersaing di arena antarabangsa, sekaligus mewujudkan labour mobility yang turut diiktiraf kemahiran mereka melalui skills and talent recognition dalam bidang TVET.

Pada sisi ini, saya menaruh keyakinan bahawa, institusi TVET berpotensi untuk melahirkan individu-individu yang kreatif dan inovatif serta menghasilkan rekacipta produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai komersial, untuk bersaing dengan negara-negara lain di dunia.

Dalam hal ini, saya ingin mengambil satu lagi kisah kejayaan TVET di bidang technopreneurship, iaitu cerita saudara Mohd KamarulHelmy Mohd Kamal.

Beliau merupakan lulusan Sijil Juruteknik Komputer dari Giatmara Cheras pada tahun 2005. Selepas menimba pengalaman di beberapa syarikat, akhirnya beliau membuka perniagaan sendiri iaitu Gadgets World 666 Sdn Bhd, yang menjual aksesori telefon bimbit secara borong dan pukal serta menyediakan perkhidmatan baikpulih telefon bimbit.

Kini, syarikat beliau semakin berkembang maju dan sudah mempunyai 20 cawangan di seluruh Malaysia, yang mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM450 ribu sebulan.

Keempat: Dalam Bajet 2017, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi tujuan Matching Grant atau Geran Padanan, di mana peruntukan kewangan diberi pada nilai yang setara dengan nilai sumbangan yang diterima daripada pihak industri bagi program-program TVET berimpak tinggi.

Pastinya, geran ini boleh dimanfaatkan dalam usahasama di antara agensi awam dan pihak swasta, untuk melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

Di samping itu, saya juga ingin menggalakkan pihak industri supaya menggunakan fasiliti dan kepakaran yang ada di Institusi TVET sebagai latihan berterusan, untuk melatih para pekerja mereka dalam meningkatkan tahap kemahiran dan seterusnya memajukan diri serta kompetensi.

Sebetulnya, Kerajaan menyedari bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional di negara ini mempunyai pelbagai dimensi dan ditawarkan dalam bermacam bentuk program oleh tujuh kementerian yang utama.

Lantaran itu yang kelimanya dalam menganjak lonjakan transformasi TVET adalah dengan, menjenamakan Institusi TVET di negara ini menjadi “TVET Malaysia”.

Melalui identiti “TVET Malaysia” yang saya lancarkan semalam, kesemua institusi TVET di bawah pelbagai Kementerian, diseru agar bersatu dan bergabung tenaga sebagai kolaborasi unggul lagi bersepadu, bagi melatih warga Malaysia khususnya anak-anak muda kita untuk menjadi tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi.

Oleh itu, penjenamaan TVET Malaysia ini boleh dilihat sebagai satu usaha bagi memantapkan koloborasi di antara semua pihak berkepentingan dalam bidang TVET di semua peringkat, di samping dapat mempromosi TVET sebagai pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan dan mempunyai potensi yang tinggi.

Apa yang penting, kempen “TVET Malaysia” ini perlulah dijadikan sebagai usaha berterusan bagi menarik minat rakyat Malaysia agar memilih TVET sebagai bidang pilihan utama dalam landasan kerjaya.

Secara tidak langsung, ini mampu mengubah dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat yang sering bertanggapan bahawa, TVET merupakan pilihan kedua atau yang terakhir serta hanya diceburi oleh mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang baik.

Bagi mencapai semua sasaran seperti yang disebutkan sebentar tadi, maka dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan beberapa inisiatif berikut:

Pertama: Kerajaan akan membangunkan satu pelan induk yang komprehensif atau TVET Masterplan yang bakal diselaraskan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan dibantu oleh kesemua Kementerian lain yang berkaitan dengan TVET.

Kedua: Pembangunan Sumber Manusia Berhad atau PSMB telah memperuntukkan 30 peratus daripada levi Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia sebagai dana terkumpul atau pool fund bagi melaksanakan program-program strategik sebagai satu usaha untuk menyokong pencapaian matlamat nasional dalam meningkatkan taraf peratusan pekerja mahir di Malaysia.

Sejajar dengan aspirasi dan visi Transformasi Nasional 2050 atau TN50, Kerajaan melalui PSMB juga memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta daripada 30 peratus dana terkumpul PSMB bagi tujuan TVET.

Tumpuan khusus akan diberikan kepada Industri 4.0, dalam usaha mewujudkan tenaga buruh yang berdaya saing di peringkat global.

Selain itu, bagi menyokong Revolusi Industri 4.0 ini, kerjasama juga turut diadakan dengan Pusat Pembangunan Kemahiran, Politeknik, Universiti dan Pertubuhan Majikan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM75 juta.

Di samping itu, Kerajaan juga akan mengkaji semula kadar dan caj berkaitan pemfailan harta intelek serta insentif yang sesuai bagi menggalakkan lebih banyak inovasi dihasilkan terutamanya melalui Institusi TVET.

Jelasnya, di kala kemajuan teknologi bergerak pantas dalam menongkah cabaran masa depan menuju visi TN50, kita dituntut supaya sentiasa berterusan untuk melakukan islah yakni perubahan diri ke arah kebaikan seperti reskilling, upskilling dan upscaling, khususnya dalam meningkatkan nilai, keupayaan dan prestasi serta kualiti insaniah.

Apatah lagi melalui TVET ini, saya percaya, kita bukan sahaja mampu menghasilkan tenaga kerja mahir tempatan, terutama untuk terlibat secara langsung dalam membangunkan projek-projek infra-rakyat yang bertaraf dunia seperti MRT, ECRL, Lebuhraya Pan Borneo dan High Speed Rail.

Bahkan, berupaya membawa Malaysia terkehadapan, melangkaui batas-batas pencapaian yang sudah lazim, atau “we must always raise the bar high and continue to keep the bar high for Malaysia”.

Ayuhlah kita bersatu tenaga, sehati sejiwa, atas nama Negaraku tercinta, menjulang TVET Malaysia hingga ke puncak kejayaan tersenarai pada kedudukan 20 negara terbaik di dunia. InsyaAllah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Speeches