21 Januari, 2016

Menghadapi Cabaran Ekonomi Global


Didorong oleh kejatuhan harga minyak yang kini berada di bawah paras AS$30 setong dan kejatuhan harga komoditi, adalah diunjurkan bahawa keadaan ekonomi global akan menjadi semakin mencabar, dan ini telah membawa kepada penyemakan semula ramalan pertumbuhan ekonomi negara-negara seluruh dunia.

Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran ekonomi semasa yang memberi kesan kepada pendapatan negara dan sepertimana yang diketahui, saya akan mengumumkan penyesuaian semula Bajet 2016 pada 28 Januari kelak.

Bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan secara menyeluruh daripada pelbagai kumpulan dan lapisan masyarakat, pagi ini pula saya telah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil persatuan-persatuan pengguna serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Ada beberapa cadangan dan maklum balas yang telah diketengahkan dan dibincangkan. Saya dan Kementerian Kewangan akan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya kepada cadangan-cadangan ini.

Saya juga telah mengarahkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan agar mengambil langkah-langkah menggiatkan lagi pelaburan secara berhemat dalam sektor-sektor strategik bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Saya yakin Malaysia dapat mengharungi cabaran ekonomi ini dan kerajaan akan memastikan agar pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dan mampan dengan perancangan yang berpaksikan rakyat.