Menghayati Pengertian Ramadan

NRramadan_W3fblink

Rasulullah SAW bersabda: “Bagi orang yang melaksanakan ibadah puasa ada dua kebahagiaan (akan diperolehi); kebahagiaan ketika berbuka, dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Rabbnya (di dalam syurga).” – Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rahmat-Nya, kita telah dua minggu berpuasa di Malaysia dalam keadaan yang aman dan damai, dengan limpahan rezeki tanpa kurangnya pilihan juadah berbuka di bulan Ramadan tahun ini.

Dalam kita berpuasa dengan niat beribadah kepada Allah SWT, sama-sama kita menaakul pengertian Ramadan yang bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga serta mengawal hawa nafsu.

Dari segi istilah syarak, Ramadan membawa erti bulan rahmat yang diwajibkan berpuasa ke atasnya, sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183, maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Sementelahan, Rasulullah SAW turut bersabda dalam Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah dari Abi Hurairah dari Ibnu Umar, “Bukanlah puasa itu dari makan dan minum saja, sesungguhnya puasa itu dari perkataan kotor dan caci maki.”

Manakala dalam hadis riwayat Thabrani, Rasulullah SAW juga bersabda, “Betapa banyak orang yang berpuasa, tapi ia tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya itu selain lapar dan dahaga.” Amatlah rugi sekiranya kita tergolong dalam golongan seperti ini.

Potongan ayat Al-Quran serta hadis-hadis Baginda Nabi SAW ini memperlihatkan bahawa ibadah puasa itu bukan sahaja melatih kita menjadi yang lebih baik dari segi ukhrawi melalui ibadah puasa dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT, bahkan ia juga mengajar kita menjadi seorang insan yang lebih sempurna dari segi duniawi dalam tindak-tanduk seharian kita sesama insan.

Selain daripada itu, berpuasa turut mengajar kita perihal kesabaran melawan godaan hawa nafsu, selain mendalami dan merasai jerih payah mereka yang kurang bernasib baik berbanding kita, supaya kita tergolong dalam kalangan mereka yang bersyukur.

Inilah sebahagian pengertian Ramadan yang harus bersama kita hayati, semoga ia menjadikan kita umat Islam yang lebih tawaduk dan manusia yang lebih bersyukur dan seterusnya beroleh rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT, Insya-Allah.