31 Januari, 2015

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO


twitter mt umno

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan doa kepada mangsa-mangsa tragedi MH370, semoga roh mereka dicucuri rahmat. Dalam sidang media selepas mesyuarat, saya telah mengumumkan bahawa pada hari Selasa, 10 Februari ini – bersempena Majlis Perdana Ulama Umara 2015 – Indeks Maqasid Syariah Malaysia akan dilancarkan, sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memartabatkan syiar dan syariat Islam. Indeks ini berlandaskan konsep Maqasid Syariah yakni agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang mempunyai Indeks Maqasid Syariah.

Berkaitan Perutusan Khas tentang keadaan ekonomi semasa, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa apa yang sedang kita hadapi bukanlah krisis atau kegawatan, tetapi kesan daripada faktor-faktor di luar jangkaan. Dalam pada itu, kita boleh berasa bangga dengan pencapaian kita dalam bidang ekonomi, meskipun dengan cabaran yang dihadapi. Umpamanya, ramalan daripada Moody’s yang memberi tinjauan positif kepada pengurusan ekonomi negara yang menunjukkan bahawa ekonomi negara berada pada landasan yang betul.

fb mt umno 1

Selain itu, melalui Sistem Pendaftaran UMNO-Online yang telah dilancarkan 18 Disember lalu, sebanyak 4,995 permohonan keahlian baru telah diterima, dan daripada itu, 2,993 permohonan lengkap telah diproses dan diserah kepada cawangan mengikut alamat pemohon. Sambutan ini amat menggalakkan, dan saya harap ia akan berterusan.