Mewujudkan Kedinamikan Baharu, Mengukuhkan Perkongsian Masa Depan

By November 11, 2017 Blog, Featured Articles

Alhamdulillah, Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-25 di Vietnam tahun ini berkesudahan dengan nada kejayaan dan optimis terutamanya ketika Christine Lagarde, Pengarah Urusan IMF menyampaikan taklimat bahawa pemulihan dunia adalah lebih baik daripada yang dijangkakan.

Ini adalah berita baik buat semua negara APEC. Ia membolehkan kita terus mengorak langkah mewujudkan integrasi serantau selain meningkatkan kerjasama dan mudahcara di kalangan negara anggota serta memberi tumpuan kepada aspek-aspek lain seperti institusi sosial untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat memberi faedah kepada rakyat.

Kami turut mengesahkan semula komitmen terhadap aspirasi untuk pembangunan seimbang, inklusif, mampan dan inovatif di rantau Asia Pasifik.

Perbincangan juga menyentuh komitmen untuk perusahaan kecil dan mikro, meningkatkan keselamatan makanan dan lebih spesifik lagi inovasi dalam bidang pertanian, sebagai tindak balas terhadap perubahan iklim. 

Saya juga menyentuh mengenai keperluan kita menerima globalisasi, usaha Malaysia menerusi DFTZ dan banyak lagi. Anda boleh baca mengenainya di blog saya yang terdahulu di sini.

Secara tuntasnya, APEC telah mencapai pelbagai kejayaan sejak penubuhannya pada 1989 dengan pelbagai langkah dilaksanakan ke arah mengurangkan halangan dalam perdagangan dan pelaburan.

Kita juga telah mengenalpasti kepentingan internet dan ekonomi digital sebagai pemacu utama kepada ekonomi dunia, dan APEC perlu berada di barisan hadapan dan tidak boleh ketinggalan.