Minggu Saham Amanah Malaysia 2017

By April 20, 2017 Blog, Featured Articles

Saya gembira dapat bersama masyarakat Temerloh, Pahang, hari ini untuk merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berlangsung sehingga 25 April. Lebih menggembirakan saya, lokasi Dewan Tun Razak yang dipilih sebagai medan pelancaran MSAM 2017 ini ada nilai sentimental buat saya, kerana ia dinamakan bersempena Allahyarham Ayahanda saya yang merupakan pencetus kepada agenda besar nasional, yakni Dasar Ekonomi Baru.

Program Minggu Saham Amanah Malaysia ini dekat di hati saya, kerana ia memainkan peranan penting dalam membawa anjakan paradigma dan mengubah pemikiran rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Bumiputera dalam aspek simpanan, pelaburan dan perancangan kewangan. Ini selaras dengan inisiatif kerajaan dalam melancarkan Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, semalam.

Sempena Minggu Saham Amanah Malaysia ini, saya harap ramai akan mengambil peluang untuk memperkasakan ilmu mengenai pelaburan dan perancangan kewangan. Lebih-lebih lagi berkenaan unit-unit amanah saham yang ditawarkan oleh PNB seperti Skim Amanah Nasional, Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham 1Malaysia dan terbaharu sekali, Amanah Saham Bumiputera 2 yang ternyata memberi peluang kepada rakyat kita untuk melabur wang mereka dengan mendapat pulangan yang tinggi dan konsisten.

Mengikut perkiraan, jika RM1,000 telah dilabur dalam ASB pada Januari 1990, nilai pelaburan pada Januari 2017 adalah berjumlah RM13,183.93. Ini adalah peningkatan sebanyak lebih 13 kali ganda daripada pelaburan asal, lantas membuatkan ASB sebagai satu instrumen pelaburan yang menarik. Bayangkan pulangan yang anda bakal dapat jika anda adalah seorang yang berdisiplin dari segi kewangan dan melabur dana secara bulanan?Setakat tahun 2016, lebih kurang 9.1 juta pelabur telah melabur dalam ASB berbanding 7.8 juta pelabur pada tahun 2012. Saya harap lebih ramai lagi masyarakat kita akan mengambil peluang yang disediakan. Laburlah walaupun hanya RM10 atau RM100 sebulan. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Jangan ketinggalan kerana manfaat yang ada sangat jelas!

Untuk golongan berpendapatan sederhana atau M40, institusi-institusi kewangan terpilih turut menawarkan pinjaman ASB agar mereka dapat dana yang diperlukan untuk melabur dan menerima manfaat maksima menerusi dividen dan bonus yang diisytiharkan. Tidak lupa juga, PNB turut menawarkan unit saham yang terbuka untuk semua rakyat Malaysia iaitu Amanah Saham 1Malaysia yang mana dividennya setakat ini tidak kurang daripada 6 sen seunit.

Oleh itu, saya ingin menyeru kepada semua agar mengambil langkah proaktif dalam merancang kewangan mereka. Simpanlah wang untuk kegunaan masa hadapan dan kepada ibu bapa yang berkemampuan, ambillah langkah untuk membuka akaun pelaburan buat anak-anak. Terapkanlah amalan menabung dalam pendidikan anak-anak sejak kecil.

Jika ramai menyambut seruan ini, Insya-Allah pendapatan rakyat semua akan terus berkembang dan bersama-sama kita akan dapat merasai hasil pembangunan, kemajuan serta kekayaan negara.