16 Mac, 2016

MRT Laluan Kedua


Tengah hari tadi, saya telah mempengerusikan perbincangan perolehan berkaitan pembinaan MRT Laluan Kedua.

Pelaksanaan projek ini akan diteruskan walaupun kita kini menghadapi cabaran ekonomi global yang sedikit sebanyak telah menjejaskan Bajet kerajaan.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Malaysia bukanlah satu negara yang gagal seperti yang dituduh oleh sebilangan ahli politik tertentu dan kerajaan tidak sama sekali menghadapi apa-apa krisis kewangan.

Sebaliknya, ini membuktikan bahawa kerajaan mengutamakan inisiatif-inisiatif tertentu dalam rancangan pembangunan negara dan saya tegaskan sekali lagi bahawa kita akan terus berbelanja hanya secara berhemah dan patut, terutamanya dalam projek-projek yang berpaksikan rakyat seperti infrastruktur dan pengangkutan.

Kerajaan ingin memastikan bahawa pembinaan ini dapat disempurnakan dengan lancar dan membawa manfaat kepada semua secara saksama dari segi peluang pekerjaan dan pendapatan selain penggunaan perkhidmatan MRT bagi laluan ini oleh orang awam kelak.

Bagi MRT Laluan Pertama, sebagai sebahagian daripada inisiatif memastikan agenda ekonomi Bumiputera terpelihara, sebanyak 43 peratus daripada nilai keseluruhan pakej pembinaan telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

Bagi Laluan Kedua pula, kerajaan terus menggalakkan penglibatan Bumiputera melalui sekurang-kurangnya 45 peratus daripada jumlah nilai pakej dijangkakan selain keperluan minima sebanyak 30 peratus diberi kepada kontraktor Bumiputera bagi kerja-kerja perundingan yang ditetapkan oleh MRT Corp.

Kerajaan akan meneruskan usaha memartabatkan sistem pengangkutan awam negara demi kemudahan dan keselesaan rakyat.

MRT