27 April, 2018

Pastikan Malaysia Kekal Diterajui Barisan Nasional


Saya, bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan Barisan Nasional, termasuk Presiden Parti Komponen Barisan Nasional dan Pengerusi-pengerusi Barisan Nasional peringkat Negeri telah merundingkan senarai calon dengan sehabis baik, mengambil kira maklumat yang diterima, penilaian yang telah kita lakukan, semangat setiakawan Barisan Nasional dan lebih-lebih lagi di atas kehendak pengundi dan rakyat.

Senarai calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telahpun diumumkan oleh Pengerusi BN Negeri masing-masing, bermakna satu lagi teka-teki berkaitan Pilihanraya Umum Ke-14 selain tarikh mengundi telah terjawab.

Saya faham bahawa akan ada anggota Barisan Nasional yang tidak terpilih akan mempertikai keputusan yang dibuat dan tidak puas hati. Saya harap mereka dapat menerima keputusan yang dibuat dengan hati yang terbuka dan menyokong mereka yang dipilih dan meletakkan kepentingan Barisan Nasional di atas segala kepentingan.

Objektif utama dalam pemilihan calon adalah untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang dan pada masa sama mengekalkan momentum parti untuk jangka masa panjang demi kepentingan rakyat.

Sebab itu calon-calon dipilih berdasarkan beberapa kriteria antaranya rekod dan potensi mereka. Maknanya calon-calon yang kita pilih ini mestilah calon yang disenangi oleh rakyat. Mungkin berdasarkan kepada pengalaman mereka, perwatakan mereka, khidmat bakti mereka, dan sebagainya.

Di samping itu kita juga mengambil kira keperluan-keperluan lain. Kita memerlukan muka-muka baharu dan muda untuk meremajakan semula parti. Kita juga perlu penyertaan calon-calon wanita kerana ini salah satu daripada komitmen yang telah kita buat dan kita juga perlu mengambil kira nisbah pewakilan yang bersesuaian dengan kaum.

Sebab ini parti Barisan Nasional, dan negara ini negara berbilang kaum, dan kita juga perlu memastikan kepelbagaian komuniti Malaysia dapat melihat bahawa Barisan Nasional merupakan parti yang boleh mewakili mereka.

Calon-calon telah dinilai dengan rapi sejak lima tahun lalu, bukan sebulan dua sahaja tetapi telah mengambil kira prestasi mereka selama lima tahun, hubungan mereka dengan masyarakat setempat dan sokongan yang mereka terima daripada rakyat.

Kepelbagaian calon yang diletakkan ini adalah bagi memastikan BN tidak hanya memenangi pertempuran kecil tetapi lebih daripada itu, kita nak memenangi peperangan besar.

Kita perlu jelaskan tidak ada erti dan tidak ada gunanya kita memenangi pertempuran kecil jika ia hanya akan menyebabkan kita kalah peperangan besar. Yang paling penting sekali ialah kita mahu menawarkan kepada para pengundi calon-calon yang mampu menawarkan perkhidmatan terbaik di kawasan mereka.

Kita juga memberi keutamaan yang tinggi kepada calon-calon tempatan. Meskipun ada satu dua pengecualian tetapi boleh dikatakan pada keseluruhannya calon-calon kita memang terdiri daripada pemimpin tempatan. Menjelang hari penamaan esok marilah kita rapatkan saf kerana hanya dengan kesatupaduan kita akan berjaya untuk mencapai satu kemenangan yang besar.

Bagi calon yang telah terpilih, buktikanlah bahawa anda sememangnya layak dipilih sebagai calon dan pahlawan Barisan Nasional!

Bila kempen bermula saya ingin mengingatkan pengundi bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 ini adalah proses kita memilih Kerajaan di peringkat pusat dan negeri. Kerajaan yang kita pilih itu ialah Kerajaan yang bakal menguruskan hidup kita sepanjang lima tahun akan datang. Dalam kita buat pilihan fikirlah sebaik-baiknya dan juga jangan diganggu gugat oleh kempen-kempen yang berbentuk emosi, rayuan peribadi daripada mereka yang telah tersasar jauh daripada perjuangan asal mereka, mahupun dengan hasutan fitnah dan pembohongan.

Meskipun kita terima pelbagai rayuan peribadi yang saya percaya akan dilakukan tetapi ini bukanlah asas kita untuk menentukan sesebuah Kerajaan. Saya juga percaya bahawa pilihan raya ini akan menyaksikan apa yang saya nak sebutkan sebagai TsunamiPHitnah dan hasutan yang menjadi sandaran pembangkang dan penyokong mereka yang sebenarnya tidak mempunyai agenda besar untuk rakyat sebaliknya semata-mata nak jatuhkan saya dan Kerajaan Barisan Nasional.

DAP yang sebenarnya menguasai Pakatan Pembangkang dengan pertolongan Dr Mahathir hanya mahu memecahkan undi Melayu bagi mencapai agenda ubah mereka. Kerajaan pimpinan pembangkang yakni DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor, setelah memerintah selama 10 tahun telah gagal untuk memenuhi janji-janji dan harapan yang mereka laungkan kepada rakyat.

Saya ingin menyatakan bahawa sebagai sebuah parti yang telah pun memimpin negara selama ini, kita telah mendokong satu agenda dan dasar induk yang begitu tersusun rapi dan komprehensif yang telah membawa kepada wujudnya pelan transformasi dan pelaksanaannya yang berkesan.

Pendek kata, we have delivered for the last 5 years and we will continue to deliver. Apa yang kita minta kali ini adalah mandat baru daripada rakyat untuk kita terus memimpin 5 tahun yang akan datang di mana kepercayaan dan keyakinan serta sokongan rakyat, Insya-Allah BN akan berjaya dan dengan kejayaan BN kita akan terus memperhebatkan negara Malaysia kita yang tercinta.

Bersama BN, Hebatkan Negaraku!