1 Mei, 2018

Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara


Alhamdulillah hari ini 1 Mei 2018 hari yang penuh barakah kita dapat berkumpul sempena Majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2018, bersamaan dengan 15 Syaaban 1439 Hijriah, dikenali juga sebagai Hari Nisfu Syaaban yang menjadi antara hari-hari penting dalam takwim atau kalendar umat Islam.

Pada tahun 1972 sebagai menghargai jasa dan sumbangan warga pekerja, Perdana Menteri ketika itu dan ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah mengisytiharkan 1 Mei, sebagai Hari Pekerja dan Cuti Umum.

Maka kini, anaknya pula, Najib Razak, pada sambutan Hari Pekerja bagi kali ke-46 ini pula, berikrar dan berjanji, akan berusaha dengan lebih gigih lagi, untuk terus membela serta memperjuangkan untung nasib warga pekerja Malaysia di seluruh tanahair, bagi tempoh lima tahun mendatang!

Seperti yang kita dapat saksikan pada hari ini, sambutan Hari Pekerja dilangsungkan dalam suasana penuh kemeriahan, aman lagi sejahtera, tidak seperti di sesetengah negara lain, yang sering dicemari dengan pelbagai insiden kontroversi, konfrantasi dan mogok pekerja sehingga menjejaskan operasi perniagaan.

Ini ialah kerana adanya hubungan baik lagi harmonis, kerjasama kukuh di antara rakan-rakan tripartite iaitu, Kerajaan, Kesatuan Sekerja dan Persatuan Majikan khususnya MTUC, CUEPACS serta MEF. Adanya hubungan yang semakin akrab dan positif yang membolehkan sebarang pertikaian serta masalah diselesaikan atas prinsip musyawarah.

Lebih membanggakan kita semua ialah apabila hubungan baik di antara majikan dengan pekerja serta pihak Kerajaan ini diiktiraf oleh World Economic Forum (WEF) di dalam the Global Competitiveness Report (GCR) 2017-2018 yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-20 daripada 137 buah negara, melalui aspek “kerjasama dalam hubungan majikan-pekerja”.

Pujian sewajarnya juga diberikan kepada inisiatif Kementerian Sumber Manusia, yang telah membangunkan Industrial Harmony Index (IHI) bagi mengukur hubungan majikan-pekerja di Malaysia, yang pertama seumpamanya di ASEAN!

Saya doakan mudah-mudahan hubungan kukuh yang sudah terjalin ini akan terus berkekalan selamanya, bak diseloka orang Melayu dulu-dulu;

“Bagai aur dengan tebing,
Umpama kuku dengan isi.”

Kerjasama erat ini kita terus kita gembleng, setia bersama kerajaan sedia ada kini.

Justeru itu, jika sebelum ini saya menyebut bahawa warga penjawat awam, yang berjumlah lebih 1.6 juta orang sebagai pendokong dan kawan setia kepada Kerajaan, maka pada hari ini pula merangkumi segalanya seluruh warga pekerja di sektor awam mahupun swasta, termasuk para majikan dan sebanyak 742 Kesatuan Sekerja di seluruh tanahair, yang berjumlah lebihi 14 juta.

Sesungguhnya tuan-tuan dan puan-puan semua, adalah menjadi darah daging kepada negara tanahair tercinta!

Jelas 6 dekad bukanlah waktu yang singkat, kerana sepanjang tempoh tersebut pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional telah berjaya dan sudah membuktikan segala-galanya.

Pada tanggal 3 April 2018 baru-baru ini, genaplah 9 tahun saya mengambil alih tampuk kepimpinan, di mana Kerajaan telah melaksanakan usaha untuk mentransformasikan negara, dengan berpaksikan kepada dua Falsafah besar iaitu;

Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamaan.

Pada tahun 2009, Dasar Transformasi Nasional (DTN), pada tahun 2010 diperkukuhkan lagi dengan prinsip Maqasid Syariah, berpendekatan pula Wasatiyyah, diikuti dengan beberapa dasar dan inisiatif utama lain antaranya, Program Transformasi Negara, dengan berpegang atas prinsip “NO ONE IS LEFT BEHIND” supaya tidak ada satu pun kawasan terkecuali mahupun rakyat yang akan ketinggalan.

Alhamdulillah, Barisan Nasional, setakat 28 Februari 2018, telah berjaya menunaikan segala janji Manifesto PRU Ke-13 yang lalu, sehingga mencapai 99.4 peratus!

Bahkan mulai kini, dan selepas 9 Mei 2018, kita doakan selepas berita baik kemenangan kita jadi kenyataan, kita akan memulakan suatu kembara perjalanan jauh buat negara khususnya kepada warga pekerja sekalian.

Bukan sekadar bagi tempoh 5 tahun, bahkan 30 tahun ke hadapan, membawa Malaysia yang makmur lagi berkemajuan, sampai puncak titik kejayaan Transformasi Nasional 2050, TN50, sekaligus menjadikan Malaysia berada pada 20 negara terbaik lagi termaju di dunia.

Lalunya, kepada warga pekerja yang dikasihi sekalian, saya mengajak agar kita semua supaya berpegang kepada nilai atau prinsip Wala’, sebagai asas kepada kestabilan, kecemerlangan dan kemakmuran negara yang berterusan pada masa mendatang.

Dalam perspektif ini, Wala’ itu jika merujuk kepada pandangan jumhur para Ulama, bererti nilai-nilai seperti cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, memberi taat dan bai’ah, yang wajib diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan yang dijunjung itu, termasuklah tuntutan mentaati Pimpinan atau Ulil Amri.

Apatah lagi, pimpinan Kerajaan selama ini, telah melakukan segala usaha dan inisiatif dalam menjaga kebajikan serta mendahulukan kepentingan rakyat terbanyak khususnya kepada golongan B40 dan negara amnya.

Pada sudut ini, para Ulama berpendapat, dalam situasi Malaysia hari ini, Wala’ adalah sampai kepada tahap wajib, diberikan kepada Kerajaan masa kini, yang telah dipilih secara sah oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Justeru itu, sebagai menghargai Wala’ dan kesetiaan warga pekerja di seluruh tanahair kepada Kerajaan serta negara selama ini, maka saya sukacitanya mengumumkan pemberian geran khas sebanyak RM3 juta kepada Kesatuan Sektor Swasta pada tahun ini.

Sesungguhnya, rakyat dan nasib warga pekerjalah yang didahulukan dan hampir segala-galanya bagi saya. Kebajikan mereka adalah tanggungjawab saya, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup yang mereka kecapi, merupakan kunci kejayaan yang membahagiakan diri saya.

Buktinya, dalam hal kebajikan para pekerja di negara ini, sejak dari tahun 1998, saya dimaklumkan MTUC telah memperjuangkan dasar gaji minimum, tetapi pemimpin utama Kerajaan pada ketika itu, langsung tidak mengendahkan permintaan ini dan terus membiarkan nasib warga pekerja ketika itu, sehingga ada yang bergaji serendah RM400 sebulan.

Tatkala dalam masa hanya setahun sahaja selepas saya menerajui Kerajaan pada tahun 2009, antara perkara pertama yang telah saya lakukan adalah mengumumkan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan semasa membentangkan Bajet 2011 pada 15 Oktober 2010.

Manakala, dalam tempoh kurang dari setahun juga, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah dikuatkuasakan mulai 15 September 2011.

Malahan, beberapa bulan kemudian, tanpa perlu menunggu selama 22 tahun, sebagai hadiah istimewa daripada Kerajaan Persekutuan sempena Hari Pekerja 2012, saya telah mengumumkan kadar gaji minimum kepada seluruh warga pekerja iaitu sebanyak RM900 bagi Semenanjung dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak.

Tidak terhenti di situ sahaja, pada tahun 2016 lepas, kadar gaji minimum tersebut telah ditingkatkan lagi, masing-masing sebanyak 11 peratus dan 15 peratus, menjadi kepada RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak.

Terkini pula, dalam Akujanji Manifesto Barisan Nasional, kita berjanji akan meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh 5 tahun dari sekarang.

Sebagai menambah berita gembira kepada semua warga pekerja di seluruh negara, jika ditakdirkan sekali lagi Barisan Nasional menang dalam PRU Ke-14 ini, saya akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,000 dan RM920 sekarang, kepada kadar baharu yang akan kita umumkan pada tahun ini juga!

Kedua: Jika sebelum ini kebanyakan majikan di sektor swasta telah menetapkan persaraan pekerja pada umur 55 tahun sahaja, berdasarkan umur pengeluaran simpanan KWSP, demi memanfaatkan pengalaman dan menambahkan lagi simpanan masa depan para pekerja, saya telah memperkenalkan dasar umur persaraan minimum di sektor swasta melalui Akta Umur Persaraan Minimum 2012, di mana Kerajaan telah menetapkan umur persaraan minimum di sektor swasta kepada 60 tahun.

Ketiga: Kerajaan Barisan Nasional telah meminda Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial 1969, untuk meliputi semua pekerja sektor swasta.

Maknanya, kalau sebelum ini, skim PERKESO, hanya memberi perlindungan kepada para pekerja yang bergaji RM3,000 ke bawah, namun kini, skim ini terpakai kepada semua pekerja swasta tanpa mengira had gaji, dengan siling sebanyak RM4,000 ringgit bagi tujuan pengiraan caruman dan pembayaran faedah.

Jadinya, sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan warga pekerjanya, kita telah menubuhkan sebuah Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (TRRC) yang paling komprehensif,. merupakan satu-satunya di Malaysia, bahkan seumpamanya di Asia Tenggara!

Pada majlis ini, saya juga ingin berkongsi pula kisah ketabahan Saudara Muhammad Aminuddin Aizat pdari Cheras, Selangor. Beliau sebelum ini, telah mengalami Spinal Cord Injury atau kecederaan saraf tunjang, akibat kemalangan jalanraya.

Setelah menerima rawatan pemulihan di Pusat tersebut, hanya kurang dari 5 bulan, beliau merupakan salah seorang daripada lebih 2,600 orang berinsurans, yang telah berjaya dipulihkan. Alhamdulillah dan Tahniah kepada Saudara Muhammad Aminuddin!

Keempat: Bagi menjaga kebajikan warga pekerja yang bekerja sendiri, yang dianggarkan seramai 2.5 juta di seluruh negara pada tahun lalu, Kerajaan telah memperkenalkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Sebagai permulaan, Akta ini memberi perlindungan skim Bencana Kerja kepada pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya seperti Grab.

Di kala kita sedang cuba membantu rakyat, yang bekerja sendiri, khususnya dalam perkhidmatan e-hailing seperti Grab ini, ada pula pemimpin utama pembangkang yang ingin mengkaji semula perkhidmatan ini, semata-mata untuk mendapat undi pilihanraya.

Jika ini yang mereka lakukan, apa pula akan terjadi pada nasib pemandu Grab itu?

Oleh demikian, selepas 9 Mei 2018 ini, jika diizinkan oleh Allah SWT dan mendapat mandat semula daripada rakyat serta warga pekerja yang ada di hadapan saya ini dan di seluruh tanahair, Kerajaan Barisan Nasional bercadang untuk melindungi lebih ramai golongan pekerja yang bekerja sendiri, yang melibatkan lebih ramai segmen masyarakat seperti nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja, peniaga pasar malam dan penggiat seni, selain turut melindungi para pemandu teksi dan pemandu Grab.

Kelimanya: Menyentuh tentang golongan wanita pula, dalam masa 7 tahun sahaja saya menjadi Perdana Menteri, hasil daripada pelbagai program pengupayaan yang dilakukan oleh Kerajaan terhadap wanita, kadar penyertaan mereka telah meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada 54.3 peratus pada tahun 2016, berbanding 80.2 peratus bagi lelaki.

Ini bermakna, kita berjaya mengurangkan perbezaan penyertaan wanita dan lelaki dalam pasaran buruh, yang telah menguncup sebanyak 6.6 peratus kepada 25.9 peratus.

Kerana itulah dalam Manifesto Kerajaan Barisan Nasional, kita begitu prihatin, betapa beratnya tanggungjawab sebagai ibu, isteri, dan wanita bekerjaya serta berusaha untuk lebih mengangkat martabat mereka, tidak lagi sekadar hanya tulang belakang, bahkan wanita adalah RATU HATI NEGARA!

Justeru, untuk tempoh 5 tahun lagi, kami akan terus pastikan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta akan ditingkatkan secara progresif.

Kita turut akan mengangkat kedudukan ekonomi wanita di negara ini melalui penubuhan MAJLIS EKONOMI WANITA.

Lanjutan itu, melalui Bajet 2018 lalu, saya telah mengumumkan cuti bersalin bagi pekerja sektor swasta dinaikkan daripada 60 hari kepada 90 hari.

Sehubungan itu, Insya-Allah, saya akan memastikan pindaan undang-undang untuk menambahbaik perlindungan cuti bersalin ini, akan dibentangkan sebaik sahaja Parlimen bersidang selepas kemenangan Barisan Nasional dalam PRU Ke-14 ini.

Demi memupuk keluarga bahagia dan mengukuhkan hubungan kasih sayang antara suami serta isteri, jika diberi mandat lagi selepas PRU Ke-14 ini, saya akan memperkenalkan inisiatif khas, khususnya kepada para suami yang bekerja di sektor swasta, diberi Cuti Paterniti Mandatori sekurang-kurangnya 3 hari. Pindaan peruntukan undang-undang ini dijangka akan kita bentangkan di Parlimen, selewat-lewatnya pada awal tahun 2019.

Keenam: Sebenarnya, saya difahamkan bahawa, MTUC telah memperjuangkan pelaksanaan insurans pekerjaan bagi membantu pekerja yang diberhentikan sejak dari tahun 1998 lagi, namun tidak diendahkan.

Tambah menyedihkan, sudahlah mereka hilang mata pencarian, sesetengah majikan pula gagal membayar pampasan disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya kerana terpaksa menutup perniagaan.

Maka sebab itulah, tanpa perlu menunggu selama 22 tahun lagi, Kerajaan pada bulan Mac 2017, telah bersetuju memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di negara ini, yang kemudiannya direalisasikan pada 1 Januari 2018 melalui kuat kuasa Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Walaupun bayaran penuh SIP hanya boleh dilaksanakan mulai Januari 2019, namun nasib pekerja yang kehilangan mata pencarian pada tahun ini tidak kita lupakan.

Malah, sebelum ini pun, pihak Kerajaan secara keseluruhannya telah memperuntukan sebanyak RM122 juta kepada PERKESO untuk membuat bayaran interim SIP sebanyak RM600 sebulan, bagi tempoh 1 hingga 3 bulan kepada warga pekerja yang hilang pekerjaan pada tahun ini.

Lantas sebagai tambahan kepada peruntukan tersebut, bagi meringankan beban pekerja yang hilang pekerjaan, pada tahun ini, jika rakyat terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional, saya bersetuju untuk menambah peruntukan sejumlah RM60 juta lagi kepada PERKESO, yang menjadikan kesemuanya berjumlah RM182 juta.

Dengan tambahan RM60 juta ini, kadar bantuan interim akan ditingkatkan, iaitu RM1,000 pada bulan pertama, RM800 pada bulan kedua dan RM600 pada bulan ketiga, selain membantu penerima bantuan interim untuk mengikuti program latihan bagi meningkatkan kebolehkerjaan mereka.

Demi memastikan industri negara kekal berdaya saing di peringkat dunia, Kerajaan akan melancarkan Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 atau My-i4.0, bagi melonjakkan daya produktiviti negara dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu lagi berkemahiran tinggi.

Malahan juga, Barisan Nasional berjanji, akan melahirkan lebih 1 juta usahawan digital, lebih 10 ribu PKS melalui DFTZ.

Bukan itu sahaja, kita akan meningkatkan lagi kemahiran dan kecekapan para pekerja melalui Upskilling dan Reskilling, khususnya di bidang TVET.

Justeru itu, bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya anak-anak muda, Kerajaan Barisan Nasional komited untuk Terus Mencipta 3 Juta Peluang Pekerjaan Baharu, terutama sekali bagi pekerjaan yang berpendapatan tinggi, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Seterusnya, melalui MyApprenticeship yang dilancarkan baru-baru ini, Kerajaan bertekad untuk menambah sebanyak 1 juta lagi peluang pekerjaan baharu untuk semua rakyat Malaysia!

Ternyata, berbeza sungguh, dengan Manifesto Pakatan Pembangkang, yang hanya menjanjikan 1 juta sahaja peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 5 tahun yang sama.

Tambahan lagi, kita sedang menyiapkan projek infra-rakyat seperti MRT, Lebuhraya Pan Borneo, ECRL dan HSR, yang kesemuanya akan mencipta lebih 700 ribu peluang pekerjaan.

Apa yang Kerajaan Barisan Nasional lakukan ini, sudah nampak terang sinar kejayaannya, bak kata orang, sudah terang lagi bersuluh, bukan bersuluh sekadar dek batang pisang, bahkan bersuluh terangnya Bintang dan Matahari.

Pada 8 Mac 2018 yang lalu, Malaysia telah memeterai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), bersama 10 buah negara lain, yang KDNK-nya bernilai US$ 10 trillion, iaitu menyamai 14 peratus daripada KDNK dunia.

Menurut agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Investor Service melaporkan pula bahawa, Malaysia adalah pemenang terbesar dalam CPTPP, yang bakal membuka pasaran baharu, ke negara seperti Kanada, Peru dan Mexico.

Dari segi lain, penyertaan Malaysia dalam CPTPP, akan memperkukuhkan lagi perlindungan dan kebajikan para pekerja, terutamanya dalam aspek seperti anti-diskriminasi, kebebasan berpersatuan serta perjanjian kolektif, melalui pindaan undang-undang buruh, yang selari dengan piawaian antarabangsa.

Jelaslah, selari dengan temanya pada tahun ini iaitu “Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara”, maka saya sukacitanya ingin mengumumkan hadiah istimewa melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad yang melaksanakan Human Capital Strategic Initiatives bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja mahir negara dalam mendepani IR 4.0, dengan peruntukan sejumlah RM200 juta.

Sebagai penutup, bagai dipesan orang lama-lama,

Kati Bukan Sebarang Kati,…
Dacing Yang Saksama Lambang Perjuangan,…
Selagi Barisan Pilihan Hati,…
Kebajikan Pekerja Menjadi Keutamaan.

Justeru, benarlah sungguh bahawa, warga pekerja bukan sekadar penabur khidmat dan bakti pada tanah air tercinta ini, bahkan lebih jauh dari itu, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, seluruh warga kerja walau di mana saja berada,

Barisan Nasional mengangkat dan mengiktiraf warga pekerja sebagai tulang belulang, daging dan darah yang mengalir deras dalam pembuluh nadi serta nafas Kerajaan di tanahair keramat lagi merdeka ini!

Laginya, kalau Kerajaan Barisan Nasional itu seumpama bunga, maka warga pekerjalah ibarat tangkainya.

Maka dari itu, janganlah sesekali Warga Pekerja sekalian, terpesona dan tergoda serta menghirup di ‘bunga’ yang lain.

Teruslah yakin, menikmati madu dari kelopak Barisan Nasional yang tulen lagi menjadi penawarnya.

Sesungguhnya Barisan Nasional terbukti cemerlang, janganlah memilih “mata yang lebam”, kelak tersesat di hujung jalan.

Walau apapun,
Dari Langkawi membawa ke Semporna,
Nasib warga pekerja dipertahan dan terus kita perbela!.

Berdoalah, semoga kita diperkekalkan Tuhan dari dulu, kini dan selamanya, bagai lagu dan irama, warga pekerja serta Barisan Nasional sejak 60 tahun berpisah tiada.

Akhir kalam, kepada semua warga pekerja di seluruh Malaysia, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja Tahun 2018.

Ayuhlah Kita Pilih Biru,
Bersama BN Hebatkan Negaraku!