Pelancaran Kad Laporan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera

By November 26, 2014 Blog

Kerajaan secara am dan UMNO secara khususnya amat menitikberatkan kepentingan serta komited dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera. Malah, dalam pembentangan Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat, buat pertama kalinya tajuk “Memperkasa Agenda Bumiputera” diletakkan sebagai salah satu tajuk utama pembentangan belanjawan negara. Selain itu, satu mekanisme baru yang merentasi kementerian juga diwujudkan kini bagi menjadikan usaha membantu Bumiputera ini lebih selaras dan tinggi komitmennya.

Semasa saya mula mengambil alih tampuk kepimpinan negara, sebuah badan yang khusus dan fokus dalam membantu Bumiputera telah diwujudkan iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera, atau TERAJU. Kewujudan TERAJU ini antara lain adalah untuk memastikan apabila kita sampai Wawasan 2020, adanya penyertaan yang seimbang oleh masyarakat Bumiputera dalam pekerjaan berpendapatan tinggi, pemilikan syarikat besar dan dalam sektor-sektor pertumbuhan tinggi ekonomi. Sejak dilancarkan juga, TERAJU telah mewujudkan peluang perniagaan, pembiayaan dan pembangunan modal insan bernilai RM46.5 bilion untuk Bumiputera sehingga Jun tahun ini.

Sehubungan dengan itu, saya telah melancarkan Kad Laporan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang disediakan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) di PWTC semalam. Sebanyak 34 inisiatif atau program sentuhan telah diperkenalkan, meliputi lima teras utama iaitu; mendaya modal insan, meningkatkan pemilikan ekuiti korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan perniagaan serta memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan. Daripada jumlah itu, sebanyak 32 inisiatif memperkasa ekonomi Bumiputera telah dan sedang dalam proses pelaksanaan.

Berkaitan dengan mendaya modal insan sebagai mana yang dinyatakan di dalam kad laporan, kemiskinan Bumiputera pada tahap 64.8% pada tahun 1970 telah dikurangkan kepada 2.2% pada hari ini melalui tumpuan kepada pendidikan dan latihan teknikal. Manakala, dari segi memantapkan pemilikan ekuiti korporat, sejak penubuhannya pada 1981, Permodalan Nasional Berhad telah mengagihkan pendapatan sebanyak RM105 bilion kepada 10.7 juta pemegang akaun unit amanah Bumiputera.

Di bawah teras pemilikan aset bukan kewangan, Syarikat Perumahan Negara Berhad, SPNB telah memperuntukkan 9,904 rumah untuk Bumiputera tahun lalu, berbanding 3,248 unit pada tahun 2012. Manakala melalui Dana Mudahcara TERAJU, RM756.9 juta telah diluluskan bagi 162 syarikat bagi membantu pelaburan swasta Bumiputera berjumlah RM6.5 bilion. Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan 26,490 peluang pekerjaan baru.

Contoh-contoh ini adalah sebahagian kecil daripada isi kandungan yang terdapat di dalam kad laporan TERAJU. Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai kad laporan serta inisiatif-inisiatif berkaitan memperkasa ekonomi Bumiputera dengan mengunjungi laman rasmihttp://www.teraju.gov.my/. Saya percaya, kad laporan ini akan membolehkan pemantauan yang lebih berkesan dan telus dilakukan terhadap semua inisiatif yang telah kerajaan laksanakan demi kelangsungan agenda Bumiputera, Insya-Allah.

twitter teraju

facebook teraju