29 Januari, 2015

Pelancaran Pembinaan Rumah Kekal dan Sumbangan Banjir di Kelantan


fb 4

Keadaan banjir yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, terutamanya sekitar kawasan Kuala Krai amat dahsyat dan menyentuh hati, dan saya berdoa semoga mangsa banjir tabah menghadapi keadaan pasca banjir kini. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk membantu meringankan beban mereka yang terlibat, dan hari ini saya telah melancarkan pembinaan 138 rumah kekal yang dibina di atas tiang setinggi lapan kaki untuk mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal di Manek Urai Lama. Setiap rumah ini dibina dengan peruntukan RM48,000 dan dengan reka bentuk tinggi supaya di masa hadapan andainya kejadian banjir berlaku lagi, rumah ini tidak akan ditenggelami air, insya-Allah.

fb 2

Sebuah rumah dijangka mengambil masa 75 hari untuk siap dibina, dan peringkat pertama pembinaan ditumpukan kepada mangsa yang mempunyai tanah sendiri. Kepada mangsa banjir yang tinggal di kawasan setinggan atau rizab sungai, Kerajaan Persekutuan akan berbincang dengan kerajaan negeri Kelantan untuk meluluskan tapak-tapak baru di kawasan lebih tinggi dan selamat.

fb 3

Saya juga telah mengarahkan kerja baik pulih kediaman rosak akibat banjir diambil tindakan dengan nilai maksimum RM10,000 dan diselaraskan agensi seperti Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

fb 1

Seterusnya, saya ke Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru untuk majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di mana saya telah mengumumkan sumbangan berjumlah RM40 juta berupa barangan keperluan daripada Biro Kebajikan UMNO untuk 50,000 keluarga mangsa banjir. Setiap keluarga akan menerima 11 jenis barangan keperluan seperti tilam, bantal, dapur, gas memasak, kuali dan juga periuk. Semoga sumbangan ini akan memberi kelegaan kepada keluarga mangsa banjir terbabit.