29 September, 2017

Pelancaran Unit Tambahan Amanah Hartanah Bumiputera


Semenjak penubuhan PHB pada tahun 2006, fokus utamanya adalah untuk melabur dalam hartanah komersil di lokasi-lokasi strategik dan berpotensi tinggi dan seterusnya mengagihkan kemakmuran yang dijana melalui Amanah Hartanah Bumiputera atau AHB.

Majlis Pelancaran Unit Tambahan Amanah Hartanah Bumiputera pagi ini adalah satu lagi milestone dalam usaha gigih kita menjayakan agenda Bumiputera.

PHB dan skim AHB adalah salah satu daripada Agenda Bumiputera yang dilaksanakan oleh Kerajaan yang mana ia juga telah dijadikan sebagai satu Agenda Nasional. Seperti yang telah diumumkan pada tahun 2011, satu pelan Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera telah digubal yang bertujuan untuk memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara melalui penciptaan kekayaan.

Inisiatif tersebut kemudiannya diperkukuhkan lagi dengan pelancaran Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 14 September 2013 di UiTM Shah Alam. Ia adalah suatu inisiatif bagi membolehkan kekayaan negara diagih dan dinikmati secara seimbang oleh semua kaum.

Ia juga bermatlamat untuk merapatkan jurang pendapatan yang berbeza mengikut kaum di negara ini. Ini adalah kerana Bumiputera yang membentuk 60 peratus daripada komposisi penduduk negara pada ketika itu masih ketinggalan dari segi penguasaan ekonomi walaupun terdapat peningkatan ketara dalam pendapatan isi rumah dan penurunan kadar kemiskinan bumiputera sejak lima dekad lalu.

Selanjutnya, pada bulan April tahun ini, saya juga telah melancarkan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang merupakan enhancement kepada Dasar Ekonomi Bumiputera sebelum ini. Kalau selama ini DEB melihat pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat sebagai penanda aras, TKB kini bersifat holistik dan merangkumi segenap aspek Kesejahteraan Hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya. Melalui TKB, Kerajaan berharap agar dapat membantu meningkatkan status ekonomi serta kualiti hidup rakyat kepada yang lebih baik dan selesa.

Skim AHB adalah satu contoh bagaimana inisiatif Kerajaan boleh dilaksanakan bagi mendorong satu transformasi kesejahteraan masyarakat Bumiputera. Kepentingan menabung dan cara berbelanja secara bijaksana perlu dididik dari usia muda. Kita sebagai golongan dewasa perlu membekalkan anak-anak kita dengan ilmu untuk menjadi individu-individu yang celik perihal kewangan atau financial literate. 

Tujuan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) diwujudkan adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera supaya dapat turut serta melabur dan mengambil bahagian dalam pemilikan hartanah komersil di Malaysia melalui pegangan unit yang disediakan oleh AHB.

Ini semestinya membuka peluang kepada masyarakat Bumiputera untuk berkongsi pemilikan ke atas aset-aset ini, sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah komersil ini.

PHB melalui Skim AHB telah berjaya menarik golongan Bumiputera melabur dalam unit amanah berlandaskan hartanah. Ini dapat dilihat melalui permintaan orang ramai untuk melanggan unit-unit AHB yang tidak pernah surut semenjak pelancarannya.

Enam tahun yang lepas iaitu pada tahun 2010, saya sendiri telah merasmikan dana asal AHB sebanyak 1 bilion unit. Beberapa tahun kemudian, saiz tersebut telah ditingkatkan sebanyak 2 kali pada tahun 2012 dan 2013 lalu mejadikan jumlah keseluruhan dana AHB pada masa itu sebanyak 2 bilion unit. Tahun lepas pula, sebanyak 1.5 bilion unit lagi dilancarkan. Malah, saya difahamkan unit-unit ini telah habis dilanggan dalam tempoh kurang daripada setahun.

Dengan sambutan yang amat menggalakkan terhadap unit-unit amanah ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa saiz dana AHB ditingkatkan sebanyak 500 juta unit lagi untuk menjadikan saiz dana AHB kini meningkat kepada 4 bilion unit atau bersamaan RM4 bilion.

Saya percaya sambutan yang menggalakkan ini menunjukkan bahawa AHB telah mula mendapat kepercayaan para pelabur berikutan pulangannya yang konsisten dan kompetitif. Di samping itu juga, AHB merupakan Skim Patuh Shariah atau Shariah-compliant yang mendapat kelulusan Suruhajaya Sekuriti.

Sepertimana tambahan saiz dana sebelum ini, saya juga menjangkakan bahawa unit tambahan ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan. Malah, pada tahun lepas saya juga telah mengumumkan bahawa pelaburan minima AHB telah diturunkan daripada RM500 kepada RM100 sahaja. Ini adalah untuk lebih menggalakkan para pelabur untuk melabur ke dalam skim AHB ini, dan juga untuk memastikan keterangkuman di mana lebih ramai yang layak atau mampu melabur.

Dalam melangkah ke hadapan, saya menyokong penuh usaha PHB dalam membeli atau memajukan pelbagai hartanah di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia. Pada tahun ini sahaja, PHB telah memulakan beberapa projek pembangunan baru iaitu pembangunan pusat membeli-belah Mayang Mall di Terengganu, Hospital Pakar KPJ Damansara, bangunan pejabat di Jalan Bangsar dan Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Sehingga kini, PHB telah berjaya menembusi pasaran hartanah di Lembah Klang dan negeri-negeri di bahagian Utara, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kini, aset terkumpul PHB bernilai lebih RM9.4 bilion.

Perolehan ini secara tidak langsung menjadi faktor penentu bagi penambahan saiz dana AHB kerana PHB mengambil kira di mana dan bagaimana mereka melaburkan wang yang disimpan dalam Dana itu. Ini adalah supaya ia memenuhi objektifnya untuk memberikan aliran pendapatan yang tetap dan konsisten dan pada masa sama mengekalkan modal pelaburan pemegang unit.

Saya yakin bahawa kesemua projek besar ini akan terus memperkukuhkan lagi prestasi PHB dan AHB pada masa akan datang. Saya percaya, usaha PHB ini akan terus memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersil di lokasi-lokasi strategik dan berpotensi tinggi di seluruh negara.

Di samping itu juga, bagi menggalakkan lagi penyertaan pelabur-pelabur muda dalam AHB, pihak Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera telah bersetuju untuk memberi insentif 50 unit percuma untuk setiap Akaun Remaja yang dibuka kepada 200,000 Akaun Remaja baru yang pertama bermula pada hari Isnin depan bersamaan 2 Oktober 2017.

Sehubungan dengan ini, saya menyeru kepada para ibubapa agar dapat merebut peluang ini dengan membuka akaun-akaun AHB untuk anak-anak mereka. Saya difahamkan bahawa Akaun Remaja ini adalah untuk kanak-kanak yang berumur 3 bulan ke atas sehingga di bawah 18 tahun.

Akhir kata, perjalanan Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjadi semakin hampir. Pada masa yang sama, saya juga telah memulakan usaha untuk melihat lebih jauh lagi, melalui Program Transformasi Nasional 2050 atau TN50 untuk mendengar suara dan citarasa anak-anak muda pewaris negara Malaysia yang tercinta ini.

Di bawah TN50, kita mahukan anak-anak kita ini melakarkan sendiri masa depan mereka. Namun begitu, sememangnya menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin masa kini, untuk memastikan lakaran ini menjadi kenyataan melalui landasan yang kita bina untuk mereka sekarang.

Sehubungan itu, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas kepada PHB untuk Majlis pada hari ini dan juga atas segala usaha mereka dalam menjadikan kumpulan muda sebagai sasaran untuk kempen pelaburan AHB kali ini. Pastinya, inisiatif sebegini adalah salah satu daripada landasan yang akan membantu kita dalam membentuk satu masyarakat Bumiputera yang akan mampu bersaing, tidak kira dengan siapa, dalam bidang apa, atau di mana sekalipun kita berada.

Adalah harapan saya agar langkah-langkah yang kita lakukan akan dapat terus memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Mudah-mudahan dengan izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Speeches