29 Julai, 2016

Pelantikan Pengerusi Baharu Permodalan Nasional Berhad


Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Wahid Omar, telah dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang baharu berkuatkuasa 1 Ogos 2016.

Tan Sri Abdul Wahid, seorang akauntan bertauliah, pernah mengetuai Maybank, sebuah syarikat di bawah portfolio PNB selepas menerajui transformasi Telekom Malaysia. Beliau juga telah mengetuai proses pemulihan UEM Group.

Semasa di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menyelia agensi-agensi kerajaan seperti EPU, UKAS, Jabatan Perangkaan, Ekuinas, Talent Corporation, TERAJU dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputra.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di atas sumbangan besar beliau mengemudi PNB sejak 1996 sehingga menjadi salah sebuah institusi pelaburan terkemuka di negara ini.

Di bawah pimpinan beliau, PNB telah mencapai pelbagai kejayaan dalam melaksanakan mandat Kerajaan bagi meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Bumiputera khususnya, dan menyumbang ke arah pertumbuhan dan kemakmuran negara untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Saya berharap agar Tun Ahmad Sarji akan terus berkongsi pengalaman dan menyumbang kepada pembangunan negara.

DATO’ SRI MOHD NAJIB
29 JULAI 2016

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Press Statement